Penyanyi Bunga Citra Lestari, 38, mengakui masih berusaha untuk menjadi orang yang lebih kuat selepas setahun pemergian suami tercinta, Ashraf Sinclair.

Menurut Bunga atau lebih mesra disapa BCL berkata dia kini perlu menjaga diri sendiri selepas arwah meninggal dunia pada Februari tahun lalu.

"Dia sudah tiada untuk jaga saya, jadi kini saya kena jaga diri sendiri. Itu menyebabkan saya perlu kuat dan harus menjadi kuat.

"Saya tak boleh kata saya sudah kuat, cuma sekurang-kurangnya kita cuba.. kalau jatuh, kita terus bangun!

"Tak mengapa, nangislah macam orang gila sekalipun, selepas itu kita berdiri semula," katanya ketika bersiaran dalam program NSS Ep24-Bunga Citra Lestari yang dimuat naik di saluran Youtube CXO Media.

Sementara itu, pelantun lagu Cinta Sejati menyatakan dia akan meneruskan perancangan bersama arwah untuk membuka sebuah syarikat rakaman atau label.

Malah, katanya dia akan meneruskan karier seni dengan mengadakan konsert, mengeluarkan album dan tampil dalam filem.

"Perancangan sebelum ini dengan Ashraf dia bantu saya untuk buat label sendiri, tapi dia pergi dahulu.. jadi kita teruskan sahaja perancangan itu.

"Saya akan teruskan karier nyanyian, kalau boleh mahu terus berkembang, ada konsert lagi, buat album penuh, muzik, filem atau apa sahaja karya hebat lain," katanya lagi.

Terdahulu, Ashraf meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 4.00 pagi (waktu tempatan) pada 18 Februari 2020.

Allahyarham telah dikebumikan di kompleks pemakaman San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia.


Sumber: DetikHot