“Setiap Orang Ada Pandangan Masing-Masing” - Hun Haqeem Gembira Kakak Dapat Tunai Impian Main Gitar Di Majlis Perkahwinan Sendiri
Ainun
13/09/2024 14:55 MYT
13/09/2024 14:55 MYT
Pelakon, Hun Haqeem meluahkan rasa gembira selepas kakaknya, Nureen Qistina berjaya menunaikan hasrat untuk bermain gitar di majlis perkahwinannya sendiri.
Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 26, berkata kakaknya telah lama menyimpan impian untuk bermain gitar di majlis perkahwinannya sejak dari zaman sekolah lagi.
“Saya berasa gembira dengan apa yang kakak saya lakukan. Mana mungkin seorang adik tidak berasa gembira melihat kakaknya yang sejak zaman sekolah lagi sering menyatakan hasrat untuk bermain gitar.
“Sebenarnya kakak saya telah lama menyatakan hasratnya, dia kata alangkah seronoknya kalau dapat bermain gitar pada majlis perkahwinan nanti,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun ada segelintir masyarakat yang mempunyai pandangan berbeza mengenai tindakan kakaknya itu namun, Hun berkata itu terpulang kepada pendapat masing-masing.
“Mungkin setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Ada orang yang rasa okay dan ada juga yang rasa macam tindakan kakak saya itu tidak sesuai dilakukan pada majlis perkahwinan.
“Bagi saya, selagi pengantin itu gembira, kita juga harus berasa gembira untuk mereka. Lagipun, perkahwinan hanya berlaku sekali seumur hidup dan saya sangat gembira dengan kakak saya”, ujarnya.
Terdahulu, video kakaknya Nureen Qistina sedang bermain gitar di majlis perkahwinannya pada Disember tahun lalu tular dan berjaya meraih perhatian ramai.