Pelakon, Hariz Hamdan mengamalkan larian sebagai salah satu aktiviti sihat untuk menjaga staminanya.

Menurut Hariz, oleh kerana dirinya sukakan aktiviti larian, dia juga menyimpan hasrat untuk menyertai larian marathon tahun hadapan.

“Saya memang seorang yang suka berlari, bila saya cuti atau tidak ada penggambaran, setiap hari waktu petang saya akan berlari dalam 5 atau 6 kilometer.

“Kalau bercakap mengenai marathon, sejujurnya saya belum pernah cuba lagi tapi saya ada simpan hasrat untuk sertai acara itu tahun depan.

“Insya-Allah saya akan cuba buat full marathon tapi di mana dan bila itu saya belum tahu lagi, doakan ya,” katanya kepada Gempak.

Hariz berkata demikian ketika ditemui pada acara Gear Up For Asics Meta: Time: Trial With Hariz Hamdan, baru-baru ini.

Hariz yang dilantik sebagai duta Asics Malaysia ini juga turut meluahkan rasa gembira kerana dapat meluangkan masa melakukan aktiviti sihat bersama rakan-rakan dan juga media.

“Acara ini sebenarnya hanya fun run antara saya dan kawan-kawan. Saya sukakan larian, jadi bila saya tengok Instagram, saya nampak ramai kawan-kawan suka melakukan aktiviti yang sama.

“Jadi dari situ saya terfikir untuk melakukan acara ini bersama mereka dan juga media. Hanya 5km sahaja, untuk suka-suka dan secara tak langsung kita juga dapat meluangkan masa melakukan aktiviti sihat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hariz bakal muncul dalam siri premium Astro Originals iaitu Xchange dan bergandingan bersama pelakon hebat, Rosyam Nor.