Pelakon, Shahiezy Sam berpendapat bahawa setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza untuk menilai filem lakonannya yang berjudul La Luna.

Sam atau nama lengkapnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 41 berkata, dia menerima setiap pandangan penonton dengan hati yang terbuka.

"Setiap pandangan manusia berbeza-beza, ustaz dan pendakwah juga ada pandangan mereka. Jadi pandangan siapa yang kita nak ambil dan guna pakai?

“Kalau bercakap tentang niat buat sesuatu perkara, hanya Allah yang tahu niat tersebut.

"Berbalik kepada seseorang individu itu bagaimana dia kaitkan dengan kehidupan sendiri atau orang lain atau dengan agama. Saya terima pandangan semua orang," katanya ketika ditemui Gempak.

Sam berkongsi perkada itu ketika ditemui pada sidang media Program Ramadan Astro 2024 yang diadakan di M Resort @ Hotel Kuala Lumpur, pada Khamis.

Melanjutkan bicara, suami kepada aktres Syatilla Melvin itu turut berkata dia mengetahui tentang isu filem tersebut ketika mengerjakan umrah di Mekah, baru-baru ini dan sempat meminta pandangan daripada beberapa rakan ustaz ketika di Tanah Suci.

"Saya ada borak dengan ustaz-ustaz di Mekah, sebab ketika saya dengar isu itu timbul saya sedang di Mekah.

“Saya tanyakan pandangan mereka, mereka dah tengok dan kata tiada apa pun.

"Terpulang pada hati nak hukum filem itu bagaimana. Tapi ramai yang datang pada saya cakap filem itu seronok. Tapi saya sendiri sangat enjoy dengan filem ini kerana antara filem yang saya gemar.

"Fikiran saya tidak sampai ke tahap liberal atau nak mengetepikan agama. Saya sendiri beragama Islam dan saya bukan liberal," tambahnya.

Sementara itu, apabila disoal mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengatakan semakin banyak filem didakwa berunsur liberal, Sam menjawab tugas tersebut akan dipantau oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Terus terang, perkara sebegitu saya sendiri berasa segan. Tetapi macam saya sebagai seorang pelakon dan beragama Islam, saya ada garis panduan yang diikut.


Berita Trending: Shaheizy Sam & Syatilla Melvin Tunai Umrah Lagi, Tinggalkan 3 Orang Anak - "Allah Jaga…

"Kadang-kadang saya punyai kajian dalam berlakon itu terhadnya sebagai pelakon sahaja. Saya pun bukan orang yang cerdik pandai dalam agama.

"Jadi saya punya kajian tentang sesuatu filem adalah sebagai pelakon, tetapi ada satu lapisan lagi yang saya rasa selamat bila ada LPF.

"Oleh itu, saya tak rasa LPF akan lepaskan filem yang tidak elok ditonton oleh peminat tanah air," tambahnya lagi

Untuk rekod, sebelum ini filem La Luna hangat diperdebatkan di media sosial setelah didakwa mempunyai unsur liberal dan soft porn.

Selain Sam, filem ini turut dibintangi oleh Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Namrom, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan ramai lagi.