Pelakon Shakilla Khoriri kini terkandas di Sabah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan menjalani sebuah penggambaran.

Menurut Shakilla, dia bersama produksi lain tiba di Kota Kinabalu pada Sabtu lalu sebelum kerajaan mengumumkan PKP.

"Kalau ikutkan kebenaran rentas sehingga hari ini sahaja bagi mereka yang berada di luar kawasan.

"Saya dah dapatkan surat kebenaran, cuma masalahnya apabila penerbangan sekarang ini banyak dibatalkan," katanya ketika dihubungi Gempak.

Bagaimanapun, kata Shakilla, dia sudah berjaya membeli tiket penerbangan balik ke Kuala Lumpur esok.

"Sepatutnya waktu penerbangan asal pukul 10 pagi, kemudian asyik dijadual semula ke pukul 12 kemudian pukul 4 petang.

"Tak tahulah, apa status ini esok, harapnya jangan dibatalkan sudah," katanya yang mengakui terdapat satu syarikat penerbangan sahaja yang meneruskan penerbangan ke Semenanjung setakat ini.

Jelasnya lagi, dia juga sudah menjalani ujian calitan Covid-19 semalam sebagai memenuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Alhamdulillah keputusan hari ini negatif. Cuma, saya ini ibaratnya macam atas pagar. Tak tahu lepas keluar balik dari Sabah atau tidak esok walau dah ada surat kebenaran.

"Kalau dapat balik pun, apabila sampai nanti tak boleh guna pengangkutan awam seperti Grab atau mana-mana individu yang jemput di lapangan terbang, ada van yang berdaftar," katanya.



Terdahulu, menerusi satu hantaran di Instagram, Shakilla memaklumkan keadaan dirinya yang kini terkandas di Sabah bersama tujuh individu yang lain ketika mengikuti penggambaran program travelog X Camp untuk siaran TV Okey.

"Kami tersangkut! Banyak tiket penerbangan batal, yang ada pun habis terjual sampai Jumaat," katanya.

Sebagai info, kerajaan melaksanakan tempoh PKP bagi enam negeri termasuk Sabah sehingga 26 Januari ini yang mana melibatkan larangan merentas negeri.