Sejak negara dilanda musibah banjir beberapa minggu lalu, kelibat barisan artis tempatan yang turun padang menghulurkan bantuan demi membantu mangsa-mangsa terlibat kerap kelihatan.

Tidak cukup dengan itu, ada segelintir selebriti juga yang sama-sama membuat kutipan derma dan mengumpulkan barang-barang keperluan sebelum diagihkan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tertentu.

Dalam masa yang sama, terdapat juga bintang terkenal yang mengerah tulang empat kerat dalam sama-sama membantu mencuci kawasan yang terjejas, terutama kawasan perumahan yang kotor diselimuti lumpur.

Begitulah yang dilalui oleh penyampai radio dan pengacara popular, Sharifah Shahirah. Sejak Lembah Klang dan beberapa kawasan lain di negara ini ditenggelami air tempoh hari, Shahirah merupakan antara rakan artis yang tidak pernah senyap di media sosial dari segi pengumpulan barangan keperluan dan penyertaan aktiviti sukarelawan untuk membantu mangsa musibah.

A post shared by Shiera Al-Khaired (@shieraijoy)


Justeru, tidak hairan jika perkongsian yang dilakukan oleh Shahirah mendapat perhatian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini.

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) dan Angkatan Tentera Cameron Highland, Pahang yang sedang bekerjasama membanting tulang membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Chegar Medang, Bentong, Pahang.

“Thank you Abang Askar. Khidmat masyarakat dari IPD dan Angkatan Tentera Cameron Highland,” katanya menerusi ruangan kapsyen.

Pada ruangan komen, Hishammuddin mengucapkan terima kasih kepada Shahirah kerana menghargai Angkatan Tentera Malaysia. Tambah Hishammuddin, beliau berjanji yang ATM akan terus membantu petugas agensi dan sukarelawan dalam membersihkan rumah mangsa-mangsa yang terlibat.

“Terima kasih hargai bantuan dari pihak ATM. Insya-Allah ATM akan terus bantu sedaya upaya petugas agensi dan sukarelawan dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Pahang sehingga selesai,” tulisnya.

Meninjau balasan pada komen berkenaan, netizen dilihat turut mengucapkan terima kasih kepada ATM yang bertungkus-lumus mengerah tenaga membantu mereka yang memerlukan.

“Terima kasih pihak ATM dan team semua, serta masyarakat yang banyak membantu syukur Alhamdulillah. Semoga kita semua aman selalu. Kepada yang terlibat banjir semoga diberi ketabahan kekuatan,” katanya.