Perkongsian foto pelakon Sharnaaz Ahmad dengan Perdana Menteri Malaysia Ke-10 (PM10) Datuk Anwar Ibrahim yang dimuat naik di laman Instagram miliknya menarik perhatian netizen.

Menerusi perkongsian tersebut, Sharnaaz sempat menawarkan diri untuk menjadi menteri dengan gaji yang rendah di mana-mana kementerian.

Selain itu, pelakon dan pengacara itu juga sempat memohon agar Anwar Ibrahim memberi teguran kepada segelintir pekerja kerajaan yang pemalas dan sukakan budaya minum pagi.

“Tok, agak-agak saya apply jadi menteri lepaih (lepas) tak? Saya tak kisah gaji kecik… yang penting menteri la… kementerian yang tak da function pun ok.

“Tok, ok ni serius. Tolong sat tengok pekerja-pekerja kerajaan yang pemalas dan budaya minum pagi ini. Bukan semua tapi ramai. Ok Tok tu saja,” kata Sharnaaz secara berseloroh.

Bagaimanapun, Sharnaaz memberitahu permohonannya sebagai menteri itu sekadar jenaka namun tetap mengharapkan Anwar dapat melaksanakan tugas sebagai PM10 dengan jujur dan amanah.

“Melawak saja jadi menteri. Elok ringgit naik, terus jahanam. Tahniah @anwaribrahim_my berkhidmatlah dengan jujur dan amanah buat Islam, Melayu dan Tanah Air. Amin!

“Nota kecil pada haters ku sayang. Masih tidak minat berpolitik, dan masih tidak minat mana-mana parti politik. Hanya untuk tanah air, agama dan Melayu!” kata Sharnaaz.

Sementara itu, menerusi Instastory Sharnaaz berharap pekerja kerajaan tidak mengambil hati dengan kenyataannya itu memandangkan ia benar-benar berlaku dalam kalangan mereka.

“Jangan marah naa wahai pekerja kerajaan. Tapi inilah kenyataan senario hari ini. Bukan semua, tapi banyak! Maaf kalau terasa tapi masanya telah tiba untuk berubah dan maju!” tulisnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!