Pelakon filem Seratus, Sharul Kamal mendedahkan wujud salah faham diantaranya dengan pihak produksi filem berkenaan.

Jelas Sharul, salah faham tersebut adalah mengenai kontrak tawaran yang ditandatangani pada asalnya merupakan sebuah supertelefilem dan bukannya filem, lantas dia bertindak untuk bersuara.

“Asalnya Seratus ini adalah supertele bukannya filem, kontrak yang saya tanda tangan adalah memang supertele.

“Ketika dimaklumkan berubah saya sudah berasa berbelah bagi, malah ketika saya kongsikan kepada beberapa rakan pelakon lain mereka turut berkata tidak okay.

“Antara sebab saya bersuara kerana saya adalah pelakon utama, kalau saya sekadar cameo mungkin saya tidak kisah jika ia diubah daripada supertele kepada filem,” katanya.

Sharul berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Seratus bertempat di GSC Mid Valley Mall, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambah bekas peserta Akademi Fantasia 2015 itu, biarpun mengambil sedikit masa untuk membuat keputusan disebabkan perubahan yang berlaku, namun dia menganggap isu tersebut sudahpun diselesaikan dengan cara baik.

“Saya mengambil sedikit masa untuk memperjelaskan isu ini sehingga mendapat kata putus, bagaimanapun untuk bahagian saya segalanya sudah selesai dengan cara yang baik.

“Hadir pada majlis hari ini juga adalah keputusan di saat akhir, apabila dah buat persetujuan dengan pihak produksi dan saya pun dah dapat bahagian saya (bayaran) untuk filem itu.

“Apa yang boleh saya ibaratkan kalau dah janji nak keluar YouTube kenalah keluar di YouTube, tidak boleh keluar di tempat lain, begitulah yang boleh saya katakan,” tambahnya.

Selain Sharul, filem Seratus yang menyaksikan penglibatan seramai seratus pelakon tanah air turut membariskan Fauzi Nawawi, Marissa Yasmin, Sara Ali, Wan Hanafi Su, Nora Danish, Datuk Awie, Datuk Adi Putra, Pablo Amirul, Amar Bahrin dan ramai lagi.

Sinopsis

Seratus mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Hafiz yang perlu menyelamatkan ibunya daripada dibunuh. Hafiz perlu mencari semula wang RM 100 yang mempunyai “klu” tentang pendrive yang terkandung sebuah rahsia besar. Hafiz melalui pelbagai situasi yang mencemaskan demi mendapatkan wang RM 100 itu sebelum ibunya mati dibunuh.

Saksikan filem arahan Feroz Abdul Kader ini yang akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 Oktober depan.