Mempunyai lagu duet bersama penyanyi Chubb-E berjudul Bintang untuk drama Projek Anchor SPM, aktres Shasha Abedul mengakui dia menyimpan hasrat untuk menceburi bidang nyanyian.

Bagaimanapun pelakon berusia 26 tahun ini berasa bimbang untuk melebarkan sayap dalam industri muzik tanpa persediaan yang betul.

“Sebelum ini saya ada juga lagu tapi masa itu saya berlakon dalam drama Projek Anchor SPM dan ada keluar satu lagu. Sejujurnya saya ada niat nak cuba masuk dalam bidang nyanyian.

“Tapi saya masih ada perasaan takut… sebab saya rasa belum cukup bersedia lagi. Saya rasa macam banyak lagi yang perlu saya belajar sebelum nak masuk bidang itu.

“Selama ini pun, saya hanya menyanyi dan muat naik di saluran YouTube saja,” kata Shasha kepada Gempak.

Shasha ditemui ketika tayangan perdana filem Hani di TGV, KLCC, baru-baru ini dan dia juga menyanyikan lagu tema filem tersebut.

Sementara itu, Shasha turut memberitahu dia tidak mahu memperbodohkan diri sendiri dengan memasuki dunia nyanyian tanpa sebarang persediaan.

“Saya memang ada minat menyanyi tapi kalau nak masuk dalam industrri muzik itu kena betul-betul la. Sebab takut nanti hanya bodohkan diri saja,” ujarnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.