Filem aksi thriller terbitan Skop Productions dan Astro Shaw, Sheriff terus mendominasi pawagam-pawagam seluruh negara dengan meraih kutipan sebanyak RM22.1 juta dalam tempoh 7 hari tayangan rasmi.

Penerbit Eksekutif Sheriff dan juga Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad melahirkan rasa syukur atas sambutan memberangsangkan terhadap Sheriff.

“Alhamdullilah dan terima kasih penonton Sherifff yang telah memberikan reaksi luar biasa. Melihat respon penonton yang sudah menonton Sheriff di pawagam, rata-rata dapat menerima jalan cerita dengan ‘plot twist’ yang di luar jangkaan.

“Memasuki minggu kedua, segelintir penonton sudah mula ulang menonton Sheriff lebih tiga kali di pawagam.

“Kutipan RM22.1 juta meletakkan Sheriff sebagai filem tempatan nombor 1 tahun 2024.

“Sekiranya sambutan menggalakkan ini berterusan, insyaallah Sheriff akan mencipta sebuah lagi sejarah dengan meraih kutipan luar biasa.

“Kami mengharapkan penonton yang belum menyaksikan Sheriff tidak akan ketinggalan merasai ‘#DemamSheriff’ dan menikmati sebuah naskhah yang menjanjikan pengalaman berbeza,” ujarnya.

Demam Sheriff

Selain berada dalam mood #DemamSheriff, rata-rata netizen menyuarakan rasa puas hati dengan jalan cerita filem arahan Syafiq Yusof itu.

Sheriff dibintangi oleh Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

Jangan lupa temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 27 dan 28 April.

SINOPSIS:

Sheriff menampilkan watak Nazri (Syafiq Kyle) iaitu seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Dalam masa yang sama, Sheriff (Zul Ariffin), seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.