Hiburan
Sherry Ibrahim Akui Dah Boleh Kawal 'Stage Fright'
Pelakon Sherry Ibrahim akui penyertaannya dalam program Gempak Superter banyak mengubah dirinya lebih ke arah positif.
Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 33, berkata program tersebut membuatkannya menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi dan kreatif.
“Saya perasan banyak perubahan positif yang berlaku pada diri saya selepas sertai Gempak Superstar.
“Dulu saya selalu rasa tak yakin bila nak buat sesuatu benda, rasa macam risau takut ada serba tak kena.
“Gempak Superstar pun bukanlah satu program yang mudah, banyak cabaran yang saya kena lalui, saya juga terpaksa melawan ketakukan untuk membuat persembahan di pentas.
“Saya memang cepat gementar bila berada atas pentas lebih-lebih lagi ramai orang pandang dan beri fokus untuk lihat persembahan saya.
“Alhamdulillah, selepas sertai program itu saya dah boleh kawal takut saya, mungkin kerana terlalu kerap buat persembahan, jadi saya pun dah boleh biasakan diri dengan keadaan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Koleksi Benang Hijau, bertempat di Flora Terrace Hampshire Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas mengenai kerjayanya, Sherry memberitahu dia kini dalam proses menyiapkan single pertamanya yang bakal muncul tidak lama lagi.
“Saya rasa syukur sangat sebab impian saya untuk menjadi penyanyi tercapai, dan kini saya sedang sibuk menyiapkan single pertama yang bakal muncul tak lama lagi.
“Apa yang boleh saya beritahu lagu single itu berentak balada, tajuk lagu nanti dulu, kalau bocorkan sekarang tak ada kejutanlah nanti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Sherry kini banyak melibatkan diri dalam aktiviti amal sepanjang bulan puasa.
Must-Watch Video