Vokalis kumpulan Wings iaitu Datuk Awie berharap agar pihak di luar sana tidak cepat meletakkan hukum tanpa mengetahui intipati penganjuran Wings Semarakkan Malam Cinta Ramadan kali ke-7.

Awie atau Ahmad Azhar Othman berkata, showcase istimewa yang dijadualkan berlangsung pada 8 April depan bakal diisi dengan program santapan rohani sejajar dengan Ramadan.

“Kalau diikutkan, memang kami pun mahu berehat pada bulan Ramadan namun bagaimana pula sumber pendapat kami untuk menampung keluarga?

“Apabila kata bulan Ramadan, pasti ada yang mempertikaikan tindakan kami mengadakan showcase di bulan Ramadan. Malah, mungkin ada yang menganggap tindakan kami ini gila.

“Namun, showcase kami ini juga penuh dengan pengisian rohani dan agama. Sebelum berbuka, kita akan adakan tazkirah dan bacaan Al-Quran.

“Selepas berbuka pula, kita akan mengadakan solat Maghrib, Isyak dan kemudian bertarawih secara berjemaah. Kemudian, baru kita buat persembahan.

“Kita fikirkan segala aspek tersebut tetapi orang yang tidak hadir, memang akan menghentam. Datang dahulu, baru mereka akan tahu,” katanya.

Awie menjelaskan mengenai pengisian Wings Semarakkan Cinta Ramadan ketika di temui pada sidang media showcase berkenaan semalam.

Sementara itu, Awie turut berkongsi keterujaan dengan senarai lagu-lagu berentak kerohanian dan ketuhanan yang bakal dipersembahkan.

“Kami akan lebihkan lagu-lagu perjuangan, islamik, cintakan keluarga dan alam. Kami juga akan membawakan lagu-lagu nasyid lama dan baharu seperi daripada kumpulan Al-Jawahir, Sani Sahuri dan Maher Zain.

“Kami mahu semua yang hadir pada malam itu akan raikan program ini dengan hati yang terbuka. InsyaAllah, sama-sama kita cari jalan-jalan yang lebih positif,” katanya.

Tiket pula akan dijual mengikut kategori Table VVIP (RM15,000), Table VIP (RM12,000) Table Platinum (RM8,000), Table Gold (RM6,000) dan Table Silver (RM4,000).