Hiburan

Shuk SYJ Berangan Mahu Tiga Orang Anak

gempak
Ahmad Shah
27/12/2015
21:30 MYT
Sponsor Banner
Shuk SYJ Berangan Mahu Tiga Orang Anak
Pelawak dan pelakon, Shuk SYJ menyimpan angan-angan mahu memiliki tiga orang cahaya mata.
Pemilik nama penuh Mohammad Shukri Mohamed Shahar ini baru saja mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Sera atau nama sebenarnya, Rosalena Natasha Assyaferah, 23, di Sandakan, Sabah pada 20 Disember lalu.
“Kalau ikutkan angan-angan, saya mahu memiliki tiga orang cahaya mata. Namun begitu, saya serahkan semuanya kepada takdir Allah. Saya tak kisah dengan bilangan anak kerana anak itu adalah rezeki Allah.
“Saya dan isteri juga tidak merancang. Kalau ada rezeki untuk menerima cahaya mata dengan cepat, kami menerimanya dengan hati terbuka. Kalau kemudian pun, tidak mengapa kerana isteri saya masih lagi menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di Damansara dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak,” kata Shuk kepada Astro Gempak.
Mengenali isterinya selama setahun, pelakon filem Amir dan Loqman Pergi Ke Laut ini tidak menunggu masa yang lama untuk mengikat Sera sebagai suri hatinya.
“Detik perkenalan saya dan Sera bermula di sebuah kedai makan. Awalnya, dia mahu bergambar dengan saya. Bermula sebagai peminat, dari situ kami bertukar-tukar nombor telefon dan berkenalan.
“Saya menyenangi Sera kerana dia seorang wanita yang memahami. Dia faham dengan kerja saya sebagai seorang selebriti yang tidak tentu masa dan sentiasa sibuk. Sera juga seorang wanita yang pandai menjaga keluarga,” katanya lagi.
Tidak berniat untuk mendiamkan pernikahan, Shuk bakal mengadakan resepsi pihak keluarganya pada bulan Mac tahun hadapan.
“Untuk majlis pernikahan saya di Sabah, saya buat untuk keluarga terdekat sahaja. Lokasinya juga jauh. Insya-Allah, pada Mac 2016, saya bakal mengadakan resepsi di Pulau Pinang. Saya akan jemput semua pihak.
“Saya juga masih belum merancang untuk berbulan madu kerana kedua-duanya sedang sibuk. Saya terikat dengan komitmen #JuaraParodi manakala isteri saya pula masih belajar. Kami akan tangguhkan sehingga kami mempunyai masa lapang kelak,” kata Shuk yang ditemui usai rancangan #JuaraParodi minggu kelapan.
Menerusi rancangan #JuaraParodi, Shuk bergabung bersama Joey dan Sam Bunkface dalam membentuk kumpulan Abang Face.
#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap. #JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.
Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live