Shuk SYJ Rasa Seperti Warga Bangladesh di Venice
Pelawak Shuk SYJ merasakan dirinya seperti warga Bangladesh sewaktu dia berada di Venice, Itali baru-baru ini.
Menjalankan penggambaran drama bersiri ‘Gondola Cinta di Venice’ bersama Azrel Ismail dan Nad Zainal di sana, Shuk mengerti apa yang dirasakan oleh warga asing yang berada di Malaysia.
“Sewaktu berada di sana, baru saya faham perasaan yang dialami oleh warga Bangladesh dan pekerja-pekerja asing lain yang mencari rezeki di Malaysia.
“Selalunya apabila melihat warga asing ini saling berpegangan tangan dan berjalan dalam satu kelompok di Malaysia, timbul rasa pelik. Tetapi apabila berada di Venice, baru saya tahu apa yang mereka alami.
“Saya bersama tenaga produksi dan pelakon-pelakon lain turut jalan berpegangan tangan. Kami sentiasa berada dalam kunpulan kerana takut tersesat,” kata Shuk yang ditemui selepas program #JuaraParodi.
Menganggotai kumpulan Abang Face bersama Sam Bunkface dan Joey, Shuk gembira apabila persembahan Abang Face diterima ramai.
“Sejujurnya, saya berpuas hati dengan apa yang kami persembahkan saban minggu. Walaupun persembahan kami tidak berjaya mengungguli kedudukan juara, kami gembira apabila semua pihak ketawa dan terhibur.
Di minggu ketujuh, Kobis Pedas mendahului carta sekaligus meletakkan kumpulan Abang Face di tempat yang kedua.
Kumpulan Abang Face berjaya memparodikan lagu balada berjudul Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor dalam versi ‘electronic dance music’ dan menjadikan bintang Hollywood, Kim Kardashian sebagai subjek utama lagu mereka.
#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap. #JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.
Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.
Teks oleh: Kamaruddin Razal