Pelakon Shukri Yahaya menyifatkan babak dalam hujan antara adegan paling menarik dalam drama bersiri Rindu Awak Separuh Nyawa.

Jelasnya, drama adaptasi novel itu merupakan drama pertama yang memerlukannya bermain hujan yang terlampau banyak.

"Pengalaman menarik saya adalah adegan hujan dalam drama ini. Cerita ini banyak adegan hujan dan saya perlu mandi.

"Saya tak pernah lagi membintangi drama dengan bermain hujan yang terlampau banyak," katanya.

A post shared by RINDU AWAK SEPARUH NYAWA ? (@rinduawakseparuhnyawa__)


Menerusi Rindu Awak Separuh Nyawa, Shukri melakonkan watak sebagai Nazril, lelaki yang penyabar namun akan bertukar karakter apabila kepercayaannya dipersiakan.

Kembali membintangi naskhah drama milik Siti Rosmizah kata Shukri, ia merupakan peluang terbaik baginya.

"Kak Siti Rosmizah telah meletakkan tanda aras dalam karyanya. Karya-karya miliknya memang baik dan bagus.

"Harapan saya agar cerita ini mendapat sambutan yang baik sebab Rindu Awak Separuh Nyawa merupakan salah satu novel terbaik dan Kak Siti mempunyai pengikut untuk novel-novel tulisannya.

"Kali ini daripada novel diadaptasi ke kaca televisyen, jadi saya harap semua orang akan suka dengan watak-watak yang kami mainkan," tambahnya.

Rindu Awak Separuh Nyawa turut dibintangi Uqasha Senrose, Marsha Milan, Fizo Omar, Aida Khalida, Fiza Thomas, Norkhiriah, Aleza Shadan, Balkisyh Semundur Khan dan instafamous Norreen Iman.

Drama Rindu Awak Separuh Nyawa ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 23 Mac 2021 menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Ia juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.