Susulan kejayaan lagu L.O.V.E, penyanyi Syabil Zulkufli, 22, kini tampil dengan single terbaharu berjudul Dunia Kita.

Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Syabil Iman Zulkufli itu, lagu Dunia Kita merupakan saty karya yang berbeza berbanding single yang diluncurkan sebelum ini.

“Kali ini, saya amat teruja untuk lagu Dunia Kita kerana saya dan pihak pengurusan ingin ketengahkan perkara baharu menerusi karya ini. Melodinya boleh dikatakan catchy dan sesuai dengan trend muzik semasa,” katanya.

Dalam setiap penghasilan lagu, tentunya ada kisah yang dijadikan inspirasi untuk penceritaan yang ingin disampaikan. Untuk lagu Dunia Kita yang dihasilkan bersama dua rakannya iatu Dani dan Nando ini, Syabil mengambil kisah yang pernah dialami oleh kenalannya sendiri.

“Saya wakilkan kepada mereka yang menyukai seseorang atau memiliki crush, mereka boleh mengekspresikan perasaan apabila mendengar lagu Dunia Kita.

“Lagu ini saya buat bersama kawan saya iaitu Dani dan Nando. Saya bersyukur kerana mereka telah memberikan kerjasama yang baik dan proses menyiapkan juga berjalan dengan lancar dan rakaman siap sepenuhnya dalam masa tiga hari.

“Sebenarnya, salah seorang rakan saya ada yang lalui situasi seperti itu, menyimpan rasa suka terhadap seseorang. Jadi, saya dan dia hasilkan lirik, seterusnya rakan kami seorang lagi hasilkan kord.

“Selepas lagu ini dihasilkan, saya tidak sangka pula ia sedap didengar di telinga kami. Justeru, kami mahu kongsikannya kepada mereka yang sedang ada perasaan terhadap seseorang,” katanya lagi.

Setelah berusaha sebaik mungkin sepanjang proses menyiapkan lagu Dunia Kita, Syabil berharap agar karya terkini taruhannya itu mendapat sambutan positif daripada para pendengar.

“Semoga lagu ciptaan kami bertiga ini diterima baik oleh orang ramai. Anda semua boleh mendengarkannya di platform digital kegemaran masing-masing. Saya juga berharap agar lagu Dunia Kita ini turut hangat dan trending di media sosial,” katanya.

Lagu Dunia Kita boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.