“Sila Beri Kerjasama” - Lepas Periksa Selipar Di Rumah, Polis Akan Semak Jumlah Bayaran Tol Pula!
Jika sebelum ini kecoh di media sosial apabila polis mengumumkan keputusan memeriksa jumlah selipar dan kereta ketika sambutan hari raya, namun kini muncul lagi perlaksanaan baru.Menerusi kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, polis akan melakukan pemeriksaan kadar bayaran tol pengguna lebuh raya.
Menurutnya, langkah itu adalah antara pendekatan yang digunakan polis bagi mengesan mana-mana kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri.
Jelasnya, sekiranya transaksi bayaran tol didapati melebihi jumlah sepatutnya untuk perjalanan di dalam negeri, maka kenderaan tersebut diperiksa sebelum dikenakan kompaun.
“Pendekatan terbaharu itu dilakukan bagi memastikan tiada individu cuba merentas negeri tanpa surat kebenaran.
“Kadangkala mereka ini pandai, untuk elak dikesan masuk tol ini dan keluar tol itu. Sebab itu, kita akan tengok kadar bayaran tol mereka.
“Jika transaksi itu adalah kadar tol dari Jalan Duta, maka kita berhentikan kenderaan dan periksa.
“Sekiranya tiada surat kebenaran, kita keluarkan kompaun dan arahkan untuk berpatah balik,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan ketat itu bagaimanapun tidak dilakukan ke atas semua kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Kita tidak mampu untuk periksa semua kenderaan. Jika pemeriksaan ketat dilakukan ke atas setiap kenderaan, ia menyebabkan kesesakan.
“Jadi, beri kerjasama sepenuhnya kepada polis. Berhentilah bergerak kerana jangkitan Covid-19 ini makin meningkat. Bertanggungjawablah untuk sama-sama mengekang penularan pandemik ini,” katanya.