Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 yang disimpan di dalam peti besi di kediamannya.

Menerusi laman sosial Twitter, Syed Saddiq telah membuat laporan polis dan berkongsi lampiran tersebut untuk tatapan umum.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya.

“Pihak polis dan forensik telah pun datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam semalam.“Saya berterima kasih kepada pihak polis di atas kerjasama yang sangat baik dan berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera,” tulisnya menerusi satu kicauan.

Menurutnya lagi, dia menyedari kehilangan wang tunai yang disimpan dalam peti besi di kediamannya di Petaling Jaya kira-kira jam 7 malam, Sabtu lalu.

“Kali terakhir saya membuka peti besi tersebut pada 13 atau 14 Mac lalu. Tiada sebarang kesan umpil dan keadaan rumah serta bilik adalah kemas,” katanya lagi.



Tambahnya lagi, peti besi tersebut memiliki kod rahsia dan hanya beberapa orang sahaja yang tahu tentang kedudukan peti tersebut.

Buat masa ini, siasatan pihak polis sedang dijalankan dan dia berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan berita yang tidak sahih kepada orang ramai.