Pelakon Sinje Lee memberitahu bahawa filem The Garden of Evening Mists merupakan naskhah berbahasa Inggeris pertama yang pernah dijayakannya sejak berkecimpung dalam dunia seni.

Sinje, 44, berkata, dia melihat faktor penggunaan bahasa itu juga sebagai salah satu cabaran yang perlu dilaluinya memandangkan dirinya tidak berapa mahir berbahasa Inggeris.

"Sebenarnya filem ini merupakan cerita pertama saya yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium percakapan.

"Memandangkan saya tidak begitu mahir bercakap dalam bahasa tersebut, saya membuat keputusan dengan mengambil dua orang guru Bahasa Inggeris bagi membantu saya," katanya kepada Gempak.

Menurut Sinje lagi, dia sudah mula mengambil kelas bahasa tersebut beberapa bulan sebelum masuk ke set penggambaran.

"Dalam tiga ke empat bulan sebelum masuk set, saya upah seorang guru British untuk memberikan tunjuk ajar. Namun, bunyinya kedengaran terlalu British.

"Maka, tidak lama kemudian saya terpaksa mengambil seorang guru tempatan kerana mahu sebutan loghat British saya kedengaran seperti dipertuturkan orang sini," katanya.



Sepanjang penggambaran juga, kata Sinje, dia turut ditemani gurunya bagi memastikan setiap sebutan yang disebut itu dituturkan dengan betul.

Sinje merupakan pelakon utama yang memegang watak sebagai Yun Ling dalam filem tersebut.

Filem berkenaan menampilkan Sinje bergandingan dengan heronya, Hiroshi Abe yang merupakan pelakon kelahiran Jepun.

Naskhah arahan pengarah Taiwan, Tom Shu-Yu Lin ini merupakan karya adaptasi novel tulisan novelis tempatan, Tan Twan Eng.

BACA: "Saya Seorang Yang Mementingkan Kesempurnaan" - Penulis Novel The Garden of Evening Mists Ambil Masa Hampir 4 Tahun

Filem tersebut mengisahkan kehidupan wanita bernama Teoh Yun Ling yang mahu membina taman Jepun demi mendiang adiknya, Teoh Yun Hong.

Bagaimanapun, Yun Ling kemudian menjalin hubungan dengan tukang kebun Jepun, Nakamura Aritomo.

Karya terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu mula menemui penonton di pawagam bermula 16 Januari ini.

BACA: Baru Tengok Trailer Tapi Ramai Yang Dah Tak Sabar Nak Tonton The Garden Of Evening Mists, Filem Wajib Tengok Ni!