Penyanyi Sissy Iman bersyukur kerana banyak terlibat dalam bidang pengacaraan sejak kebelakangan ini.

Menurut Sissy, dunia pengacaraan merupakan salah satu jalan untuk terus bertapak dalam industri hiburan.

"Alhamdulillah, sekarang saya banyak terlibat dengan pengacaraan, itu salah satu jalan saya sekarang ini.

"Pada masa yang sama, saya akan keluarkan lagu baru juga, tapi itu saya akan umumkan tidak lama lagi," katanya ketika ditemui Gempak.

Meskipun semakin aktif mengacara, namun ia tidak bermaksud Sissy akan memperlahankan bidang nyanyian.

"Saya tak rancang untuk memperlahankan kerjaya nyanyian, tambahan saya baru sahaja tanda tangan kontrak dengan sebuah label antarabangsa.

"Saya akan kongsi lebih lagi info mengenainya apabila lagu baru saya dilancarkan nanti.

"Cuma apa yang boleh saya katakan, penglibatan dalam pengacaraan semakin banyak sekarang, tetapi bukan bermaksud saya memperlahankan kerjaya nyanyian," katanya lagi.

Imbas kembali, Sissy merupakan salah seorang bintang Big Stage musim pertama yang turut disertai Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Tajul, Syafiq Farhain, Baby Shima dan Wani Kayrie.