Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan dirinya telah mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan baru-baru ini.

Kata Siti, dia tidak berkongsi perkara terbabit di media sosialnya bagi menjaga sensitiviti ramai berkenaan hal tersebut.

"Saya dah vaksin, saja je saya tak letak sebab kadang-kadang kalau kita letak orang cakap, tak letak pun orang cakap kan. Jadi biar sajalah kita tahu dan kita sendiri tahu.

"Mana yang tahu tu, tahu je lah. Kalau nak juga gambar nanti saya post lah," katanya menerusi sesi siaran langsung di Instagramnya baru-baru ini.

Jelas Siti, sekiranya perlu dia akan berkongsi perkara terbabit di akaun media sosialnya kelak.

"Saya pun rasa terlalu ramai orang sensitif, ada benda tak perlu. Kalau saya nak letak saya letak," tambahnya.

Pelantun lagu Airmata Syawal itu turut merayu orang ramai agar mendapatkan suntikan vaksin kepada diri sendiri dan orang tersayang bagi sama-sama mencegah penularan virus berbahaya itu.

"Semua jaga diri jaga kesihatan, jangan keluar kalau tak perlu ke mana-mana. Jangan lupa ambil vaksin tau," kata Siti lagi.

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk)


Dalam perkembangan lain, Siti akan memaklumkan tarikh persembahan mayanya nanti sepertimana yang diminta oleh peminatnya dalam sesi siaran langsung tersebut.