“Saya sangat terkejut dan gembira melihat mereka semua di sini,” Itu respon pelakon, Siti Khadijah Halim apabila ditanya mengenai kejutan dibuat kelab peminatnya yang dikenali sebagai Sweeties of Siti.
Menurut pelakon yang popular dengan drama Ash & Aish itu, dia tidak menyangka peminatnya sanggup datang ke lokasi penggambaran yang jauh semata-mata untuk memberikan kejutan padanya.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama mereka buat kejutan untuk Siti, sebelum ini pun mereka pernah menghantar food truck ke lokasi penggambaran.
“Tapi kali ini terkejut sungguh sebab mereka datang ke set, saya rasa terharu kerana ada yang tinggal jauh seperti di Johor dan Singpura,” katanya.
Siti berkata demikian ketika ditemui Gempak semasa menjalani penggambaran drama Rahsiamu Selamat Denganku.
Mengulas mengenai kejutan tersebut, Siti berkata pada mulanya dia seolah-olah dapat meneka mengenai acara itu namun tidak terfikir akan benar-benar berlaku kerana food truck yang datang adalah untuk sebuah majlis lain.
“Saya mula-mula dah perasan, sebab saya seperti kenal dengan food truck itu. Pengarah filem pun ada terlepas cakap, namun saya tidak fikirkan sangat mengenainya.
“Saya hanya fikir mungkin food truck itu untuk majlis lain yang ada dekat sini tapi memang tak sangka sebenarnya untuk saya, jadi saya sangat-sangat gembira,” ujarnya.
Selain Siti Khadijah, pelakon lain yang turut menjayakan drama tersebut adalah Alvin Chong, Adriana Adnan, Haziq Dean, Hana Tiha, dan finalis Hero Remaja 2024.
Drama ini akan mula ditayangkan di slot Dramavaganza, Astro pada Disember 2024 akan datang.