Skip to main content

Budaya Popular

Kes Rogol: "Tindakan Da'i Syed Tidak Dapat Diterima Akal" - Hakim

astro_gempak_dai-syed-masuk-penjara-tak-diterima-akal.png

“Itu bukan suatu yang mudah dan akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayatnya,” kata hakim.

Susulan itu beliau berkata, hukuman berkenaan akan memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah masyarakat secara amnya.

Sementara itu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran, memandangkan jenayah rogol semakin berleluasa.

“Karakter sebagai motivator anak muda yang seusia dengannya, telah menggunakan kedudukan dan mengambil kesempatan ke atas mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh berkata, sekiranya Syed Shah Iqmal dimasukkan ke penjara, ia akan memusnahkan kehidupannya, terutama anak sulung yang baru dilahirkan, 16 hari lalu.

Pada Jumaat, mahkamah menjatuhi tertuduh hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.

Hakim ini memerintahkan Syed Shah Iqmal dihukum serta-merta selepas didapati bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Selain kes ini, dia yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sumber: Awani Menerusi Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement