Penyanyi Siti Sarah Raissuddin mengakui pernah berdepan pelbagai pancaroba ketika awal bergelar anak seni.

Biarpun bersandarkan bakat yang mengagumkan, Sarah sering menjadi bahan ejekan ramai bersandarkan fizikalnya ketika itu.

"Macam mana aku nak jual budak ni, rupa dia susah nak jual..."

"Sebelum ni ada artis cantik, pon susah nak jual. Ini kan lagi dengan rupa yang tak seberapa.

"Belum lagi part orang luar yang mengata Sarah. Dulu pun dah ada netizen tau! Muka tak lawa la, mengata hidung Sarah la, panggil Sarah dengan nama binatang. Ape je binatang yang diorg tak ejek? Hahaha.

"Sedih memang sedih. Kadang-kadang Sarah down. Tapi Sarah teruskan sebab Sarah ada tanggungjawab besar, mencari rezeki untuk keluarga dan ada penyokong yang selalu support Sarah.

"Tapi itulah yang dinamakan rezeki. Mungkin niat nak bantu keluarga, Allah permudahkan so tercipta lah nama Siti Sarah dalam industri seni," ceritanya.



Dedah pelantun lagu Saat Hilang Cintamu itu lagi, dia pernah berdepan situasi kehilangan suara selepas melahirkan anak sulungnya sekitar tahun 2012.

"Selepas berbelas tahun menempuh onak duri dalam dunia seni, Sarah pon kahwin dengan Shuib dan terciptalah 1 lagi cerita baru dalam hidup.

"Selepas melahirkan anak pertama, secara tiba-tiba, suara Sarah hilang, bila suara hilang, pendapatan pun hilang.

"Masa tu memang rasa Allah tarik satu punca rezeki sebab sarah hanya tau menyanyi sahaja.

"1 tahun lebih jugak laaa, lepastu mengandung lagi anak no 2. sama juga suara masih tak keluar. Sarah dah fikir, sampai bila nak macam ni?

"Suara dah hilang, macam mana nak nyanyi? Terus fikir untuk buat business.

"Tapi bila buat business, asyik lingkup. Tak jadi, tak pulang modal sampai habis bukan ratus, bukan ribu , tapi....," tambah Sarah lagi.

Sarah dan Shuib telah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata Uwais Alqarni, 9; Dzahira Talita Zahra, 6, dan Ariq Matin, 4.