Penyanyi dan usahawan Siti Sarah akui berasa lucu ketika mengimbas kembali kisah di awal kehamilannya.

Siti Sarah berkata, pada mulanya dia seakan tidak percaya apabila ibu mentua memaklumkan mengalami alahan kerana dirinya hamil.

“Macam tak percaya kan? Tetapi itulah yang berlaku. Mama (ibu mentua) terkena alahan yang agak teruk.

“Dia muntah-muntah, tak lalu makan…Sampai terpaksa pergi jumpa doktor. Yang kelakar tu bila sampai di klinik doktor beri dia alat ujian kehamilan!

“Masa tu Mama cakap pada doktor mana mungkin dia yang sudah berusia 57 tahun dan menopause boleh hamil? Sudahlah suami pun tak ada,” katanya ketawa.

Sementara itu Shuib berkata, ibunya ada membuat panggilan telefon mengadu badannya lemah serta tidak lalu untuk makan.

"Ada satu hari Mama telefon, tiba-tiba dia marah dan cakap ‘korang kalau nak mengandung jangan susahkan aku boleh tak’?

“Pelik kan…Selalunya alahan isteri hamil ni terkena pada suami, tetapi ini terkena pada mak sendiri pula. Lama la juga keadaan tu berlarutan, dalam sebulan lebih,” katanya.

Siti Sarah dan Shuib ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Indigital Music di 10grams di Puchong baru-baru ini.