Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil melayangkan ucapan buat finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang akan bertanding pada malam ini.

Ucapan itu juga khusus buat penyanyi yang bakal mewakilinya menerusi dua buah lagu berhantu 7 Nasihat dan Aku Bidadari Syurgamu.

Lagu 7 Nasihat akan dinyanyikan oleh Shiha bersama Kym Kmo dan Luca Sickta manakala Aku Bidadari Syurgamu akan dilantunkan oleh penyanyi legenda, Aishah.

"Kepada yang bertanding untuk AJL 35, khususnya yang pertama untuk penyanyi dan komposer 7 Nasihat iaitu Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta, komposer dan penulis lirik ABS iaitu Ippo Hafiz dan Siti Rosmizah serta penyanyi yang saya hormati Kak Aishah, semoga maju jaya untuk AJL ini.

"Semoga diberikan kesihatan baik, ketenangan dan selamat menghiburkan kami semua. Saya akan menonton saja di rumah dan menyokong anda semua," katanya.



Bagaimanapun, ada yang mencetuskan tanda tanya apabila Siti tidak meletakkan nama Instagram Aishah (@aishahjmm) dalam posting terbabit.

"Kenapa Siti tak sendiri IG Aishah? @aishahjmm," soal seorang pengguna.

Jawab individu lain; "Selalunya kalau kena blocked, kita tak boleh tag orang."



Mereka berspekulasi pengguna Instagram tidak boleh menulis akaun pengguna lain sekiranya telah disekat.

Menerusi tinjauan Gempak, baik Siti mahupun Aishah, kedua-dua akaun terbabit tidak mengikuti satu sama lain.



Namun, Aishah ada memuat naik potongan video ucapan Siti sempena AJL35 pada Sabtu dan kedua-dua penyanyi terbabit dilihat tiada masalah sebelum ini.

Baik Siti mahupun Aishah, kedua-duanya pernah berbalas-balas ucapan dan pemberian di akaun Instagram masing-masing.



Aishah dipilih sebagai penyanyi gantian Aku Bidadari Syurgamu oleh Siti sendiri sebelum separuh akhir Muzik-Muzik pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, Aishah mendapat kritikan ramai apabila ada yang berpendapat lagu itu tidak dibawa dengan baik dan tiada penjiwaan.