Bank-bank di Malaysia menyokong penuh inisiatif kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sokongan itu dibuat menerusi penawaran Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA) kepada peminjam di bawah kumpulan pendapatan B40 dan M40 serta perusahaan mikro.

Perkara itu disahkan oleh beberapa bank di Malaysia menerusi kenyataan dikeluarkan baru-baru ini.

Buat anda yang tertanya-tanya apakah respon bank mengenai bantuan kepada golongan terjejas, ini antara Bank yang telah memberi maklum balas.

#1 Bank MBSB

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Bhd, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman, bank akan terus memberi bantuan kepada pelanggannya yang menghadapi masalah kewangan.

Beliau berkata, program Fleksibiliti Pembayaran MBSB Bank untuk Kumpulan Sasaran yang bermula pada bulan Ogos lepas telah berjaya membantu lebih daripada 2,200 pelanggan dengan memberi moratorium atau pengurangan pembayaran bulanan.

#2 Bank Rakyat

Sementara itu, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dalam satu kenyataan berkata, penambahbaikan ini harus dilaksanakan untuk terus memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutama pada waktu sekarang apabila pelanggan mempunyai pilihan penyelesaian kewangan untuk memenuhi keperluan mereka.

Bank Rakyat berkata, pihaknya juga menyambut baik usaha tersebut, khususnya bagi membantu meringankan beban kumpulan yang terjejas seperti kumpulan B40 dan M40 dalam menghadapi kesan daripada pandemik itu, serta menyokong fasa memulihkan semula ekonomi negara.

Malah, ia juga berharap agar industri perniagaan, terutama perusahaan mikro supaya dapat bertahan dan berkembang walaupun keadaan ekonomi ketika ini.

#3 Hong Leong Bank

Dalam pada itu, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank Bhd mengumumkan bahawa kumpulan itu akan terus menyediakan Pelan Bantuan Bantuan Pembayaran dengan proses permohonan yang dipermudahkan.

Kumpulan itu berkata, ia telah meluluskan lebih daripada 98 peratus permohonan yang diterima sejak tempoh berakhirnya moratorium dan yakin proses permohonan dipermudahkan itu akan mempercepatkan respons kepada pelanggan yang meminta bantuan lanjut.

#4 Bank Simpanan Nasional (BSN)

Sementara itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata ia akan terus menumpukan perhatian pada keperluan dan keadaan semasa negara berikutan penularan COVID-19 yang telah mempengaruhi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Pegawai Operasi BSNm Kameel Abdul Halim berkata dalam masa yang mencabar ini, BSN terus memperkukuhkan usahanya untuk membantu pelanggan daripada kumpulan pendapatan B40 dan M40 serta peminjam daripada perusahaan mikro.

"Bantuan Bayaran Balik Dilanjurkan BSN ditawarkan kepada pelanggan sehingga 30 Jun, 2021. Oleh itu, kami menggesa pelanggan yang belum mendapat bantuan ini untuk segera memohonnya melalui laman web kami," katanya.

Sumber & Foto: BERNAMA