Drama premium terbitan Astro Originals, Projek: Anchor SPM telah membuatkan ramai peminat drama yang selama ini skeptikal menonton karya tempatan, membuat pusingan 'U-Turn'.

Malah, tanggapan sebelum ini mendakwa drama ini sama dengan karya Thailand iaitu Bad Genius juga semakin pudar.

Menerusi pemantauan Gempak di Twitter, ramai yang memuji drama ini lain daripada yang lain.

Kebanyakan mereka tidak menjangkakan elemen dramatik ditampilkan dalam drama ini sangat bagus memandangkan ia hanya mengangkat tema pelajar sekolah.

“First time aku nervous tengok cerita Melayu, berdebor jantung”

“Aku tarik balik kata-kata aku, Drama ni is sooooo good. Tak sangka aku boleh minat”

“Menyesal kecam dulu, now dah minat” tulis beberapa netizen.

Pada yang terlepas, boleh tonton Projek: Anchor SPM platform Astro GO atau On Demand.

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.