Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Sosial Media Tak Elok Untuk Saya” - Aizat Amdan Akui Jarang Kongsikan Hal Peribadi Di Internet Sebab…

Izwan Isa
18/07/2023 01:50 MYT

Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan mendedahkan yang dia tidak berapa gemar berkongsi hal peribadi di media sosial, apatah lagi menghabiskan masa mengambil tahu tentang perkara-perkara yang sedang berlaku di alam maya.

Menurut penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu, dia berasa ‘turn off’ apabila kebanyakan pengguna media sosial menjadikan platform berkenaan sebagai tempat untuk berkongsi kebahagiaan, kekayaan mahupun kedukaan.

“Saya rasa media sosial ni tak berapa elok untuk saya sebab saya rasa apa yang pengguna platform ini lakukan hanyalah berkongsi hal-hal seperti kekayaan, kebahagiaan dan masalah rumah tangga. Saya turn off.

“Jujurnya, saya ada fasa di mana saya tidak akan kongsi apa-apa. Saya tak kisah pun tentang jumlah pengikut. Memang setengah orang pentingkan engagement. Tapi pada akhirnya, saya percaya pada rezeki dan produk saya iaitu muzik,” katanya kepada Gempak.

Aizat berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Pesta Kuantan 188 yang berlangsung di Hotel Ramada, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aizat menambah, antara sebab lain mengapa dia jarang berkongsi sesuatu di media sosial adalah komen-komen yang diterima mengenai berat badannya.

“Saya pernah berkongsi satu video yang memaparkan saya membuat persembahan di satu festival. Saya berasa tersentuh ketika itu sebab ramai yang datang, maklumlah persembahan terbuka pertama saya selepas pandemik.

“Namun, yang tak bestnya bila komen-komen yang diterima adalah berkenaan berat badan saya, dan hal itu yang dilaporkan oleh akhbar tempatan. Hal itu yang membuatkan saya kecewa,” kata Aizat sambil memberitahu yang dia kini dalam proses menurunkan berat badan dan mungkin akan membuat perkongsian di Instagram mengenai hal-hal berkaitan kesihatan.

Melanjutkan bicara mengenai Pesta Kuantan 188, Aizat berkata, dia berasa cukup terharu kerana dipilih untuk menghiburkan penonton menerusi festival tersebut.

“Saya terharu sebab dipilih untuk sama-sama menghiburkan pengunjung Pesta Kuantan 188. Kalau nak tahu saya nyanyi lagu apa, bolehlah ramai-ramai datang nanti,” katanya.

Pesta Kuantan 188 bakal diadakan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Julai depan di Menara Kuantan 188, Kuantan, Pahang.

BACA: “Dia Ibarat Kopi Saya” - Aizat Amdan Umum Kahwin, Manisnya, Siap Dedikasi Lagu Buat Bakal Isteri

BACA: Siti Nurhaliza, Cakra Khan, Ameng Spring & Aizat Amdan Antara Penyanyi Yang Bakal Meriahkan Pesta Kuantan 188​

#Aizat Amdan #Media Soaial
;