Penyanyi Aizat Amdan, 33, mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinannya dengan wanita pilihannya bernama Elyssa Alia Ilias, 34.

Berkongsi mengenai perkahwinannya, Aizat memilih tanggal 14 Ogos ini untuk melangsungkan pernikahan mereka.

Aizat dan Elyssa yang juga merupakan pengurusnya akan mengadakan majlis perkahwinan mereka bertempat di Puchong, Selangor.

“Elyssa ibarat kopi saya, dia banyak memberikan tenaga, menceriakan saya dan mengajar saya untuk tidak pentingkan diri sendiri.

“Sebab saya sejenis orang yang tidak pandai mengekspresikan diri. Dari situ saya banyak belajar dengan dia.

“Dia juga banyak bagi idea, saya sangat gembira sebab saya suka orang yang banyak bagi pendapat.

“Saya berharap agar segala yang dirancang akan berjalan lancar. Insya-Allah saya akan menyanyikan lagu ini pada hari bahagia itu nanti," katanya yang telah merisik bakal isterinya itu pada Februari lalu.

Aizat ditemui ketika majlis perasmian lagu baharu, Hanya Kita Berdua bertempat di Indigital Music, Petaling Jaya, Damansara pada Rabu.

Menantikan detik bahagia itu, Aizat juga mendedikasikan lagu berjudul Hanya Kita Dua untuk bakal suri hatinya.

Jelas Aizat, lagu yang sudah diciptakan beberapa tahun lalu itu merupakan kesinambungan daripada lagu Sampai Ke Hari Tuayang seringkali menjadi lagu tema majlis perkahwinan.

“Lagu ini memang bertemakan perkahwinan dan saya ambil kesempatan untuk mendedikasikan lagu ini kepada bakal isteri sempena majlis perkahwinan saya.

“Bukan semata-mata untuk kami tapi saya juga mahu semua pendengar menikmatinya sebagai sebuah karya baharu, segar dan manis pada semua,” jelasnya.

Lagu itu merupakan hasil ciptaan Aizat bersama Mel Ramlan yang juga pencipta yang sama untuk Sampai Ke Hari Tua.

Hanya Kita Dua sudah berada disemua platform digital mulai 3 Ogos manakala lirik video pula ditayangkan secara rasmi pada jam 9 malam menerusi YouTube Aizat Amdan.