Stadium Levi, Santa Clara, California, Amerika Syarikat telah ditutup bagi mematuhi garis panduan kerajaan berhubung langkah pengawalan COVID-19.

Lokasi yang sepatutnya berlangsung konsert kumpulan K-Pop popular BTS, iaitu Map of the Soul Tour pada 25 dan 26 April depan ditutup mulai semalam.

Menurut laporan AFP, pengurusan Stadium Levi mengumumkan premis berkenaan ditutup sehingga tarikh yang akan diberitahu.

Bagaimanapun, pengurusan BTS, Big Hit Entertainment menjelaskan, tiada sebarang perubahan dibuat pada tarikh konsert berkenaan.

“Setakat ini, tiada perubahan dibuat. Bagaimanapun, kami akan maklumkan jika ada perkembangan terbaru,” katanya.

Sebelum ini, BTS dilapor membatalkan empat konsert di Korea Selatan, April depan berikutan penularan COVID-19.

AFP melaporkan, BTS sepatutnya mengadakan empat persembahan di Stadium Olimpik, Seoul bagi mempromosikan album terbaru, Map of the Soul : 7.