Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

"Status Ibu Tunggal Bukan Penghalang Untuk Hidup Bahagia" - Sasha Saidin

Rozaimi Zubaidi
28/03/2018 03:26 MYT
Pelakon dan penyanyi, Sasha Saidin, mengakui status ibu tunggal yang dimiliki sejak enam tahun lalu tidak menjadi halangan untuk dirinya bahagia seperti orang lain.

Menurut Sasha, dia bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan seperti orang lain sambil membesarkan anak lelakinya, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 9, tanpa seorang suami.

"Alhamdulillah kehidupan saya semakin bahagia dan tiada masalah membesarkan Aryan semenjak berpisah dengan suami.

"Kehidupan kami berjalan seperti biasa dan rezeki sentiasa ada untuk saya menampung perbelanjaan keluarga.

"Saya juga tidak mahu menjadikan status ibu tunggal sebagai halangan untuk kami hidup bahagia sama seperti orang lain.

"Ibu sebenarnya banyak membantu melancarkan urusan harian saya apabila perlu keluar bekerja bagi memenuhi pelbagai tawaran kerjaya seni," katanya kepada Astro Gempak.

Sebelum ini, Sasha pernah berkahwin dengan Salyo Prinyanto yang merupakan warga Indonesia, pada tahun 2007 sebelum bercerai pada 10 Julai 2012.

Sasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Mask Run di Wow KL Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mask Run akan diadakan pada 15 April ini, pada pukul 7.00 pagi di Dataran DBKL, Kuala Lumpur Malaysia.

Selain Sasha, larian itu turut disertai oleh Azza Elite dan Aiman Tino.
#pelakon #Pelakon #Sasha Saidin #Mask Run
;