SYOK memperkenalkan siri SYOKcast (podcast) terbaharu, ‘Belang Harimau Besi’, kepada semua rakyat Malaysia untuk mengimbau kisah pengorbanan dan luka berdarah, perwira negara, Malbatt 1, 27 tahun yang lalu.

Detik mendebarkan serta penuh semangat kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia dalam misi membawa keamanan di Somalia pada tahun 1993 sejajar dengan semangat GAGAH SETIA tentera kita, yang akhirnya mengarumkan nama negara ke persada dunia.

‘Belang Harimau Besi’ boleh distrim eksklusif di aplikasi dan laman web SYOK!

Dalam siri SYOKcast ini, Panglima Enam Briged Infantri Malaysia Brig Jen Dato Mohd Halim Khalid, wira negara yang berjuang bersama Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau menceritakan pengalamannya secara langsung dan menggabungkan unsur drama, pengajaran dan berlandaskan peristiwa yang sebenar semasa pertempuran di Bakara Market.

Penceritaan siri SYOKcast melalui wadah drama ini turut mendapat sentuhan bakat hebat dari Mejar Meor Al-Azfar Meor Ahamad.

Beliau antara perwira kita yang pernah menyertai misi pengaman PBB di Beirut, Lebanon.

Peristiwa yang menjadi sejarah dunia ini digambarkan dalam SYOKcast ‘Belang Harimau Besi’ umpama satu dedikasi penghargaan kita semua, kepada pasukan Malaysia Batallion I (MALBATT I) yang menabur bakti dan bertarung nyawa di bawah panji Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bakara Market, Mogadishu, Somalia.

Perwira negara berjuang sehingga ke titisan darah terakhir bersama-sama United Nation Operation Somalia II (UNOSOM II), dalam perang saudara yang berlaku hampir 27 tahun lalu.

Siri SYOKcast ‘Belang Harimau Besi’ ini terdiri daripada enam episod.

Konsep persembahannya berdasarkan pengalaman dan kutipan naratif dari buku yang juga berjudul Belang Harimau Besi, hasil karya Brig Jen Dato Mohd Halim Khalid.

Untuk versi skrip SYOKcast, karyanya ditulis oleh novelis Lily Haslina Nasir, juga pengarang buku umum, yang sering memenangi pelbagai anugerah kebangsaan.

SYOKcast ini juga mendapat kerjasama dan restu oleh pihak penerbit buku ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Lima daripada episod SYOKcast ‘Belang Harimau Besi’ berdasarkan pengalaman peribadi Brig Jen Dato Mohd Halim Khalid, manakala episod terakhir siri ini dikhususkan untuk mengungkap kisah di sebalik tabir penerbitan buku ini dan juga perkongsian kisah dari Brig Jen Dato Mohd Halim yang hadir di studio.

Episod pertama SYOKcast ‘Belang Harimau Besi’ akan bersiaran pada Rabu, 9 September 2020 menerusi aplikasi dan laman web SYOK.

Peminat-peminat siri ini boleh menantikan episod selanjutnya setiap Rabu, pada minggu-minggu seterusnya.

Episod-episod SYOKcast ‘Belang Harimau Besi’ adalah seperti berikut:

Episod 1: Hadirmu Tidak Diundang, Pergimu Tidak Dihalang
Episod 2: Langit Sering Beributkan Peluru
Episod 3: Militia Umpama Dubuk-Dubuk Liar
Episod 4: Gugurnya Wira Bangsa
Episod 5: Harimau Besi Gagah Bertaring

Dapatkan maklumat lanjut berkaitan siri SYOKcast ‘Belang Harimau Besi’ di www.syok.my atau ikuti SYOK di laman sosial Instagram.