Penyanyi yang kini menetap di Bali, Indonesia, Nourul Wahab, 44, memaklumkan selepas suaminya Eric Depp bebas COVID-19, dia pula yang dijangkiti virus tersebut.

Nourul berkata dia kini sudah pun mengasingkan diri dan sedang menjalani tempoh kuarantin di kediaman mereka di sana.

Bagaimanapun menurut Nourul dia tidak mengalami gejala yang teruk, hanya demam dan suhu badan meningkat 38 darjah selsius pada Sabtu lalu.

Tambah Nourul lagi, dia bersyukur kerana tiga anaknya tidak dijangkiti virus tersebut selepas melakukan ujian kendiri.

“Ambik giliran namanya. Asalkan jangan anak anak. Anak anak semua negatif. Alhamdulillah. Kami pun negatif pcr test dan juga antigen.

“Cuma kemarin demam sungguh. Pagi ni antigen positive. So precautions: kuarantin,” katanya.

A post shared by N O U R U L (@nouruldepp)


Nourul atau nama sebenarnya, Nurul Huda Abdul Wahab dan suami, Eric Daniel Depp berkahwin pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 9, Raphael, 7, dan Isabella, 3.

Sementera menerusi perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 24.