Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Suami Dakwa Keluarga Mentua 'Culik' Nynaa Harizal Di Set Penggambaran, Bodyguard Diugut Dengan Senjata Api!

Amri Hassan
03/11/2021 15:25 MYT
Suami kepada pelakon Nynaa Harizal, Mohamed Fahmi Ilyas membuat laporan polis mendakwa isterinya telah 'diculik' oleh bapa mentuanya, Mejar (B) Harizal Hashim pada tengah malam Isnin lalu.

Kejadian itu difahamkan berlaku ketika di set penggambaran sebuah drama di Setia Alam, Shah Alam sebelum didatangi keluarga Nynaa dan membawanya pulang ke Johor, didakwa untuk tujuan berubat.

Kali terakhir Fahmi berhubung dengan isterinya sekitar pukul 1 pagi hari Selasa memaklumkan dia dibawa ke lokasi yang tidak diketahui sebelum terputus hubungan komunikasi hingga sekarang.

"Ketika hari kejadian tiada sebarang masalah yang berlaku dan Nynaa menjalani penggambaran seperti biasa. Lebih kurang pukul 1.00 pagi (Selasa), dia beritahu tengah bersiap untuk pulang.

"Tidak lama kemudian dia mesej dan memberitahu keluarganya berada di lokasi penggambaran. Selepas itu saya tanya dia di mana, Nynaa cakap dia berada di dalam sebuah kereta. Saya mesej dia lagi, tetapi dah tak dibalas dan panggilan juga sudah tidak dijawab," ujarnya kepada Gempak.

Dalam sidang media tergempar yang diadakan di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur pada petang Rabu, Fahmi mendakwa bodyguard yang juga pemandu kepada Nynaa diugut dengan menggunakan senjata api.

"Ketika itu saya dah mula panik dan hubungi pemandu (pengawal peribadi) saya untuk tanya apa yang berlaku. Dia jawab tidak boleh berbuat apa sebab bapa mentua saya ada pistol dan akan meletup (lepaskan tembakan) sekiranya cuba dihalang,” tambahnya.

A post shared by Nynaa Harizal (@nynaaharizal___)


Selepas gagal menghubungi Nynaa, Fahmi nekad untuk ke rumah keluarga mentuanya di Johor untuk mendapatkan kepastian dan bertemu dengan isterinya, namun usahanya gagal.

"Selama satu jam saya menunggu di luar rumah mentua, saya nampak dia melalui tingkap tapi saya tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan rumah mereka.

"Jadi, saya telah membuat laporan polis di IPD Shah Alam semalam, menyatakan isteri saya telah diculik memandangkan saya tiada sebarang maklumat berhubung kehilangan isteri saya.

"Selain itu, dalam laporan sama juga menyebut tentang penggunaan senjata api dan ugutan terhadap pengawal peribadinya," kata Fahmi lagi.

Sejak mendirikan rumah tangga bersama Nynaa pada Ogos lalu, hubungan mereka tidak mengalami sebarang masalah namun tidak begitu baik dengan ibu mentuanya sejak dari awal.

Harapannya agar dia diberikan peluang untuk berbincang, berdialog atau berunding dengan keluarga kedua-dua belah pihak bagi menyelesaikan seandainya wujud sebarang masalah.

"Saya juga berharap dapat berjumpa balik dengan isteri saya. Bapa mentuan saya dapa dihubungi dan dia kata nak berjumpa cuma tak tahu waktu dan tempatnya.

"Saya tak tahu keadaan Nynaa buat masa sekarang tapi saya percaya mereka tidak akan sanggup mengapa-apakan anak sendiri," luahnya.

Untuk rekod, Nynaa atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal, 25, yang juga bekas peserta Dewi Remaja 2019/2020 berkahwin dengan Fahmi, 29, pada 28 Ogos lalu di Pejabat Agama dan dihadiri oleh kedua-dua belah keluarga.

Nynaa pernah membintangi drama Kekasih Paksa Rela, Chandelier dan Hero Seorang Cinderella.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!


#pelakon #Viral #Kontroversi #Ugut #Culik #Dewi Remaja #Mentua #Senjata Api #Fahmi Ilyas #Nynaa Harizal
;