Penyanyi dan pelakon Farahdhiya mengakui tidak berminat untuk mendekati lelaki berstatus suami orang.

Farahdhiya atau Farahdhiya Mohd Amin, 33, berkata, pendirian tersebut diambil untuk mengelak daripada mengalami masalah pada masa depan.

"Sekarang ini saya lebih berhati-hati dalam mengenali seseorang kerana risau akan bercinta dengan lelaki berstatus suami orang.

"Saya juga tidak mahu jika timbul sebarang masalah yang boleh mencetuskan kontroversi apabila saya berkawan dengan suami orang kerana saya tidak mahu digelar perampas.

"Tanya mana-mana perempuan sekali pun mereka akan memilih lelaki yang bujang ataupun duda untuk menjadi pasangan mereka berbanding suami orang.

"Saya akan cuba untuk mengelak selagi boleh namun itu semua ditentukan oleh Allah dan apa yang saya boleh lakukan adalah untuk berdoa supaya dijauhkan dengan lelaki berkahwin," katanya kepada Astro Gempak.

Farahdhiya berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Farahdhiya Live at Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Farahdhiya Live Di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur akan diadakan pada 30 April ini dengan menampilkan penyanyi Melody United iaitu Kris Patt sebagai penyanyi undangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai persembahan boleh melayari laman web www.airasia.com dan di Rock Shop Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi