"Suami Romantik Tak Semestinya Yang Belikan Hadiah Mahal" - Yatt Hamzah Kongsi Tips Buat Para Suami Untuk....

Rozaimi Zubaidi
Ogos 23, 2019 03:52 MYT
Pelakon Yatt Hamzah berkongsi beberapa tips rumah tangga buat pasangan suami isteri untuk mengeratkan lagi hubungan sesebuah kekeluargaan.
Menerusi entri di Instagram (IG), Yatt berkongsi beberapa tips untuk para suami menggembirakan hati isteri dengan perbuatan yang romantik tanpa berlandaskan wang atau hadiah yang mahal semata-mata.
"Antara tanda-tanda suami yang romantik ialah selalu buat isterinya tersenyum lebar sorang-sorang dan gelak besar hingga tutup mulut dan mata sepet macam ni. Betulkan, isteri-isteri solehah sekalian.
"Wahai suami-suami soleh sekalian, suami romantik tak semestinya yang belikan hadiah mahal, bagi bunga (walaupun kita memang harap suami selalu bagi bunga & coklat), buat romantik dinner atau suprise untuk kita.
"Romantik tak diukir dengan material semata-mata. Nabi SAW adalah contoh lelaki paling romantik. Baginda tidak memewahkan isteri-isteri kerana kehidupannya yang serba sederhana, tapi sifat dan keperibadian baginda sebagai suami amatlah disenangi dan membahagiakan isteri," tulisnya.
Menerusi entri tersebut juga Yatt telah berkongsi lima tips yang boleh dilakukan oleh para suami untuk membahagiakan hati isteri tanpa perlu mengeluarkan wang ringgit.
"Perbuatan yang membahagiakan isteri, tanda suami romantik:
1. PELUK 10 SAAT & CIUM ISTERI - Sebelum keluar rumah, biasakan peluk isteri at least 10 saat (lagi lama lagi bagus) dan beri ciuman ikhlas. Kuasa pelukan & ciuman membuat isteri rasa dicintai. Lakukan setiap hari sekerap mungkin.
"2. RAJIN-RAJIN WHATSAPP & TEKS ISTERI- Jangan masa bercinta je rajin WhatsApp,
DM, teks isteri. Lepas dah bertahun-tahun kahwin kena lebih rajin. Tak perlu ayat cinta berbunga. Cukup dengan yang simple, Hi sayang, I love you. I Miss You. Dah cukup buat hati isteri berbunga-bunga. Selitkan juga ikon & grafik comel buat isteri tersenyum simpul.
"3. PANGGILAN MANJA - Janganlah sekadar panggil I you je. Selain Sayang, panggillah isteri dengan gelaran-gelaran yang lebih kreatif dan menarik hati isteri seperti ADINDA, MY QUEEN, JANTUNG HATIKU, BIDADARI, MANJA CINTA HATI, etc. Pasti isteri cair dan happy. Nabi SAW panggil Aisyah dengan panggilan HUMAIRA' (Kemerah-merahan).
"4. RAJIN BANTU ISTERI - Ya memang ada suami yang rajin bantu isteri. Tapi lebih romantic jika sama-sama bantu isteri bila dia memasak, cuci baju, cuci toilet, sidai baju, lipat kain. Bisikkan kata-kata cinta di telinganya dan selitkan lawak jenaka sikit. Mesti lagi bersemangat dan hilang penat isteri buat kerja rumah.
"5. SUAP ISTERI - Rajin-rajinlah suap isteri bila makan bersama, tak kiralah di dalam atau luar rumah. Lebih sweet kalau makan dari pinggan isteri dan minum dari cawannya seperti yang Nabi SAW buat," tulisnya.
Menerusi ruangan komen rata-rata bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Yatt dan mereka juga turun mendoakan kebahagiaan rumah tangganya bersama suami.
Yatt dan suami, Mohd Zulfadli disatukan pada 27 Februari 2016.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua anak yang diberi nama Suci Humaira Iqlima dan Suci Hayfaa Medina.
Yatt mempunyai seorang anak dari perkahwinan terdahulu iaitu Suci Hanania Malika.
#pelakon #Yatt Hamzah #Pelakon