Berita
“Suami Saya Tahu...”- Jelas Aprena Manrose Selepas Video Nazim Othman Memeluk Bahunya Dikecam
Pelakon Aprena Manrose menjelaskan tindakan aktor Nazim Othman memeluk bahunya adalah dilakukan dengan secara tidak sengaja.
Namun Aprena, 25, berkata dia tetap menerima teguran peminat dan netizen mengenai insiden tersebut.
“Jika dilihat, jelas sekali Nazim tidak sengaja terpeluk bahu saya kerana kebetulan saya hampir hendak terjatuh dalam video tersebut.
"Saya menyedari perkara itu tidak elok. Yang mana positif, saya ambil tapi yang negatif tu saya baca dan gelak sahaja.
"Cuma saya hairan netizen yang suka mengada-adakan cerita yang negatif," katanya kepada Gempak.
Aprena ditemui ketika majlis pelancaran produk Irisa Cosmetic di Black Box, Publika, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Terdahulu, video yang dimuat naik Arena di laman Instagram pada awal Oktober mendapat kecaman netizen.
Rata-rata menegur Nazim yang dilihat seakan sengaja memegang dan memeluk bahu Aprena dan menganggap tindakan tersebut tidak menghormati pelakon itu yang sudah berkahwin.
Bagaimanapun, Aprena tidak mahu mengambil pusing mengenai isu tersebut kerana yang penting suaminya sendiri Mohd Afiq Hazman telah memahami dan mengetahuinya.
“Suami saya mengetahui perkara itu dan saya telah meminta izinnya sebelum memuat naik video tersebut.
“Jadi, kenapa saya perlu dengar kata orang lain sedangkan suami saya sendiri tak marah.
"Dia pun tahu yang perkara itu tidak sengaja," katanya lagi.
Aprena dan suami telah mendirikan rumah tangga selama dua tahun.
Must-Watch Video