HIBURAN
Suami Zehra Zambri Sangkal Dakwaan Sudah Tahu Mengenai Penceraian ‘Fast Track’ - “Jika Benar Untuk Apa Saya Susah Payah Cari…”
Suami kepada penyanyi Zehra Zambri, Iqwan tampil membela dirinya berhubung dakwaan keputusan mereka didakwa telah bersetuju untuk berpisah secara ‘fast track’.
Menerusi hantaran di Instagram, Iqwan menafikan dakwaan bahawa persetujuan untuk berpisah tersebut telah dicapai sebelum Zehra menyertai program nyanyian, Gegar Vaganza 11.

“Ada yang kata urusan berpisah secara ‘fast track’ telah diketahui dan dipersetujui sebelum menyertai sebuah pertandingan nyanyian lagi.
“Jika benar, untuk apa saya bersusah payah mencari penaja, mohon cuti, susun jadual kerja dan lain-lain, semata-mata untuk menemani seorang peserta pertandingan tersebut. Tak masuk akal bukan?
“Kalau benar urusan berpisah (fast track) itu telah dipersetujui, bukankah lebih baik saya fokus pada urusan sendiri? Atau sekurang-kurangnya berusaha mengutip serpihan-serpihan hati yang masih berbaki dan berfungsi.
Malah, Iqwan turut memuat naik video yang memaparkan dirinya sedang berada di belakang pentas, dipercayai sebagai bukti sokongannya terhadap isteri yang berentap di program tersebut.

“Ini aku di belakang pentas minggu pertama. Dah macam kena sawan sebab risau punya pasal. Penyanyi itu tahu bagaimana air mata jantan ini sempat gugur sebelum dia bermula.
“Gembira sebab hajatnya untuk kembali beraksi tercapai juga akhirnya,” tulisnya lagi.
Sebelum ini, Zehra menafikan dakwaan rumah tangganya sedang bergolak selepas peminat menyedari gambarnya telah hilang daripada akaun Instagram suaminya.
Namun, dia menjelaskan bahawa gambar-gambar tersebut hanya disimpan di archive kerana suaminya kurang selesa dengan perhatian dalam dunia seni.
Sebagai rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia tiga tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.