Siapa suruh meragut? Mungkin kenyataan itu tepat sekali boleh dilemparkan kepada seorang peragut yang berjaya ditangkap oleh orang awam semalam.

Tidak hanya itu, peragut berkenaan juga menerima aib apabila wanita berkenaan memukul dan menendangnya berkali-kali.

Memetik laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku di Jalan Maxwell, Hentian Teksi Pekan Rawang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.32 pagi.

Ragut rantai emas


"Ketika kejadian, mangsa berusia 50-an yang berasal dari Rawang sedang berjalan dari kedai makan di Jalan Maxwell Rawang menuju ke keretanya yang diparkir di tepi jalan.

"Tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggang oleh seorang lelaki memakai topi keledar dari arah belakang yang meragut rantai emas mangsa," katanya dalam kenyataan.

Zainal berkata, ketika suspek cuba melarikan diri, mangsa menjerit dan suaminya yang berada di hadapan berjaya menghalang suspek melarikan diri.

"Tindakan suami mangsa itu menyebabkan suspek terjatuh dari motosikal dan ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa mengalami cedera ringan di bahagian leher akibat kejadian itu dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang," katanya.

Rekod jenayah


Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek berusia 27 tahun berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah berkaitan ragut dan samun.

"Malah, suspek berkenaan baru dibebaskan daripada tahanan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada Mac lalu.

"Suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 21 Mei nanti selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Selayang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada individu terbabit dalam membantu memberkas suspek dalam kes berkenaan.

Sumber: Harian Metro & Twitter