Nusantara
Sugu Pavithra Beradaptasi Dengan Sensasi & Populariti
Hari Ahad, 21 Jun 2020, sekitar pukul 9.31 malam, saya menghantar pesanan WhatsApp kepada suami Puan S. Pavithra, Encik M.Sugu.
Sebagai seorang pengamal media, saya ingin sangat tahu apa perasaan Pavithra yang menjadi buah mulut pada hari minggu itu lantaran beberapa potret dirinya dihias cantik bak peragawati, sebuah 'pemandangan' tak biasa dan momen langka buat seorang ibu anak dua yang mula mendapatkan perhatian luar biasa sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Transformasi Pavithra yang didandan & dihias cantik untuk fotografi sebuah majalah online menjadi buah mulut sejak kelmarin.
Selain persoalan itu, pesanan WhatsApp saya juga punya satu soalan lain buat pemilik 715,000 subscribers dengan di bawah 100 video masakan yang dikongsi.
Soalan itu berbunyi bagaimana mereka berhadapan dengan populariti yang mendadak setelah lewat kebelakangan ini menjadi viral hanya dengan usaha menjadi cef di saluran YouTube, Sugu Pavitrha yang mula dikendalikan sejak 29 Januari 2020.
Adakah mereka kini berasa privasi sebagai 'orang biasa' mula terganggu dan terkuak tanpa dapat dikendalikan. Bukan hanya netizen atau masyarakat ingin tahu mengenai resipi masakan yang dikongsi di YouTube, tetapi banyak yang mencungkil lebih dari itu.
Kehidupan mereka kini menjadi mikro, diperhati setiap langkah, dijadikan bahan berita setiap masa sehingga sensasi terbit secara tiba tiba; seperti perselisihan faham isu RM10, 000 untuk muncul di salah satu program masakan misalnya.
Namun, pesanan WhatsApp itu saya kira hanya dibaca kerana dapat melihat Sugu online, pun sehingga Isnin, 22 Jun 2020 pukul 1 petang, pesanan tidak dibalas.
Saya mencuba lagi. Kali ini terus menghubungi nombor telefon Sugu. Sayangnya, ia terus masuk ke peti suara. Dengan merdu 'seorang wanita' berbicara; "Nombor yang ada hubungi tidak dapat dihubungi'.
Pavithra kini menjadi buruan media massa termasuk program masakan yang ingin kepakarannya memasak beragam juadah 'Malaysian'. Namun adakah dirinya akan memikirkan lambakan tawaran yang diberikan?
Puan Pavithra dan Encik Sugu mungkin masih bingung kerana terus menerima panggilan bertali arus dari pengamal media lain seperti saya. Mereka memerlukan masa untuk bertenang dari mendengar beragam persoalan yang dilontarkan dan kemudian membaca atau melihat apa yang dipaparkan massa.
Mungkin juga pasangan yang berasal dari Ipoh, Perak itu kini sedang beradaptasi dengan sensasi dan populariti tak terjangka yang diperoleh sekelip mata; dari hanya dikenali keluarga dan jiran tetangga kini bukan hanya di Malaysia, mereka juga menarik perhatian media dan masyarakat di Indonesia.
Tentu sahaja ini adalah sebuah kejutan budaya yang memerlukan masa untuk dihadam sebaiknya oleh sang isteri yang baru berusia 28 tahun dan suami, yang tua satu tahun darinya.
Hal itu kerana niat asal mereka mungkin hanya mahu menjadi YouTuber, berkongsi resipi memasak masakan tak asing. Itu sahaja.
Namun dek kepolosannya, pasangan ini menjadi sensasi dan kini kalau boleh saya katakan, Pavithra dan Sugu mencapai populariti seperti selebriti tanah air layaknya.
Ibu dua anak ini telah dihadiahkan ketuhar dan tripod dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Dan untuk tidak memberi respons atau mengambil sebanyak mana masa yang diperlukan untuk beradaptasi dengan 'new normal' ini adalah hak mereka. Sebagai pengamal media atau netizen, tidak ada siapa boleh memaksa mereka.
Apa lagi, ini adalah sebuah situasi yang membuat mereka terjebak dan terlanjur sensasi juga popular sekaligus menjadikan sumber pendapatan meningkat di luar jangka.
Kehidupan susah atau biasa biasa berubah menjadi lebih baik dan membuatkan mereka mampu memiliki apa yang diingini dan sebahagiannya menjadi tabungan, barangkali.
Seperti pengakuan Pavithra yang dipetik dari temu bual bersama Pepatung: "Kami tak kisah pun kalau esok lusa tak lagi popular atau YouTube tak lagi mampu beri pendapatan.
"Kami memang asalnya susah, jadi kalau susah semula tak akan mematahkan semangat."
Mula menjadi YouTuber semenjak akhir Januari lalu, kini subsribers Sugu Pavithra sudah melebihi 700,000 pengguna.
Semoga sahaja di masa mendatang pasangan ini bisa terus beradaptasi dengan new normal menelan sensasi dan terbiasa dikenali, tetapi tidak menghakis jati diri.
Jangan pernah berhenti memberi persembahan masakan dan resipi sederhana kalian yang sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada kami.
Kredit Foto: The Star
Instagram: @pepatungmy, @razzimusa, @holyblackrapunzel