Hiburan
Sumpah Diramal Juara AJL, Ini Jawapan Naim Daniel
Penyanyi Naim Daniel tidak menidakkan perasaannya yang mendambakan kemenangan pada malam Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).
Kata Naim, dia menerima setiap doa daripada semua pihak yang mahukan dirinya untuk menjadi juara.
"Saya pilih untuk tidak menipu diri sendiri dalam soal ini. Setiap orang yang memasuki pertandingan semestinya menyimpan hasrat untuk menang.
"Bila orang doakan, apa salahnya saya aminkan daripada menolak mentah-mentah. Kata-kata itu satu doa yang melantun.
"Saya akan membuat persembahan seolah tidak ada hari esok di samping akan jadikan doa itu sebagai pembakar semangat," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sumpah ini akui sudah mula berasa gementar menanti hari sebenar AJL34.
"Saya tidak dapat dapat menafikan perasaan gementar itu. Tapi biasalah bila ada perasaan tu sebab kita semua manusia biasa.
"Tekanan pun akan tetap ada terutamanya pada hari kejadian.
"Saya hanya ingin semua orang merasai jalan cerita lagu itu pada malam tersebut," katanya lagi.
Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang mempertaruhkan 12 karya mengangkat tema Warna-Warna Suara akan disiarkan secara langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 9 Februari.
Tiket yang dijual pada harga serendah RM30 boleh dibeli di www.myticket.asia mulai 9 Januari jam 9 malam.
Para peminat AJL34 boleh dapatkan tiket mengikut aras tempat duduk yang dikehendaki iaitu Arena (RM60), Aras 3 (RM40) atau Aras 4 (RM30).
Must-Watch Video