Hiburan
“Sejak Saya Terkait Isu Panas, Banyak Brand Dah Confirm, Tapi Berlalu Sepi” - Rozita Che Wan
Pelakon Rozita Che Wan mendedahkan dia telah kehilangan kontrak sebagai duta dengan beberapa jenama sebelum ini sejak terkait isu hutang.
Bagaimanapun, Rozita yang mesra disapa Che Ta, menzahirkan rasa syukur apabila jenama fesyen terkemuka, Ariani, menawarkannya menjadi wajah bagi koleksi hijab premium, Ariani Luxe.
“Saya harapkan kolaborasi ini akan memberi impak kepada Ariani.
“Rezeki untuk saya. Di saat isu (hutang) sedang panas, banyak jenama yang sebelum ini sudah setuju, tapi kemudian menyepi.
“Tapi Ariani memberikan peluang kepada saya untuk berada di sini,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media dan pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di Kuala Lumpur Convention Centre.
Berkongsi mengenai pemilihan Che Ta sebagai salah satu wajah utama bagi koleksi kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani, Datin Seri Farah Haryani berkata, keputusan tersebut dilakukan atas kepercayaan terhadap komitmen yang telah diberikan Che Ta sepanjang pengalaman 18 tahun bekerjasama.
“Memang sebelum ini Ariani Luxe tiada duta dan kami lantik Che Ta kerana dia mempunyai pakej yang lengkap.
“Kami sudah bekerjasama sangat lama iaitu sejak 2007. Dia selalu terlibat dalam iklan Jakel dan Ariani sejak dulu lagi.
“Che Ta sangat komited, tidak berkira dan baik.
“Saya yakin ini adalah pilihan yang tepat untuk melantiknya sebagai duta Ariani Luxe.,” ujarnya.
Sementara itu, ketika disoal mengenai adalah perlantikan ini bertujuan untuk membantu Che Ta yang terpalit isu hutang, Farah bagaimanapun enggan memberi sebarang komen lanjut mengenai perkara itu.
“Saya tiada komen mengenai itu kerana bagi saya semua orang ditimpa masalah. Ariani juga ada masalah.
“Saya kira ini ujian. Saya percaya Che Ta boleh memantapkan lagi jenama Ariani Luxe,” tambahnya.
Terdahulu, pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendedahkan Che Ta gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta menerusi syarikatnya, RCW World Wide Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, Che Ta dikatakan telah melunaskan hutang tersebut pada 29 Disember lalu.
Dalam perkembangan lain, koleksi Aidilfitri kali ini turut menampilkan 300 pilihan hijab dan 300,000 baju raya sempena Aidilfitri.
Majlis pertunjukan itu diserikan dengan persembahan beberapa penyanyi popular tanah air, antaranya Dato’ Amy Search, Dato’ Awie, Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah.
Must-Watch Video