Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Susah Tak PU Riz Jaga Neelofa?

Amri Hassan
29/05/2021 13:45 MYT
Pelakon dan pendakwah PU Riz mendedahkan ada waktu sukar dan senang menjaga isterinya, Neelofa.

Jelas PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 26, memandangkan isterinya sudah terlalu lama bergelar ladyboss, ia menjadi satu pengalaman yang mencabar.

"Ada susah, ada senang tetapi ia pengalaman yang mencabar. Maklumlah, dia adalah seorang wanita yang sudah lama bergelar boss. Jadi, apabila sudah bersuami, jihad untuk dia taat kepada suami.

"Namun, kesukaran menjaga Neelofa tidaklah banyak, cuma perlukan masa untuk dia menyesuaikan diri," kata PU Riz ketika ditanya peminat dalam sesi siaran langsung di Instagram baru-baru ini.

Sementara itu, kata Neelofa pula, sebagai isteri dia wajib taat kepada suaminya dalam apa keadaan sekalipun.

"Memang tidak mudah. Selama ini saya hidup saya dikelilingi dengan ramai pekerja. Saya komited untuk menjaga syarikat-syarikat yang saya usahakan.

"Tapi bila ada suami dalam hidup, kita perlu wajib taat. Walaupun untuk menyesuaikan hidup daripada zaman bujang ke alam perkahwinan bukan senang, tapi saya cuba sebaik mungkin.

"Alhamdulillah sekarang ini kami sudah dapat menyesuaikan diri sebagai pasangan suami isteri," katanya.

Bagaimanapun, video sesi siaran langsung itu telah dipadamkan daripada akaun Instagram peminat itu.

Neelofa dan PU Riz sah bergelar suami isteri dalam satu majlis pernikahan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.
#pelakon #Viral #Neelofa #Selebriti #Pengacara #peminat #Live #PU Riz #Couple
;