Laman Utama
Susut 6 Kg, Wajah Semakin Cengkung... Ryzal Jaafar Hidap Jangkitan Kuman Dalam Paru-Paru - "Dah Seminggu Saya Rasa ..."
Pelakon Ryzal Jaafar dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Selayang dan disahkan menghidap penyakit berkaitan komplikasi jangkitan kuman dalam paru-paru.
Kata Ryzal, 40, sepanjang seminggu dia mengalami perubahan suhu badan mendadak terutama pada waktu malam dan akhirnya nekad ke klinik kesihatan berdekatan rumahnya untuk pemeriksaan lanjut.
"Saya dah tak sihat sejak seminggu lalu. Bila balik malam badan rasa sejuk, kena pakai baju tebal dan berselimut untuk panaskan badan. Kesannya, saya tak boleh tidur lena dan mula rasa sesak nafas.
"Kemudian, setiap aktiviti yang saya buat cepat rasa semput, padahal selama ini semua okey.
"Keluarga saya dah nasihatkan saya untuk pergi buat pemeriksaan tapi saya pula sejenis suka bertangguh. Saya anggap sakit ini sementara saja sampai saya betul-betul tak tahan dan akhirnya saya ke klinik kesihatan.
"Selepas diperiksa di sana, saya dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Selayang menaiki ambulans. Ketika itu baru sempat saya berkongsi keadaan terkini saya di media sosial," ujarnya kepada Gempak.
Ryzal kemudiannya ditahan di wad untuk pemantauan rapi oleh petugas kesihatan dan pemeriksaan lanjut.
"Ini pertama kali dalam hidup saya dimasukkan ke wad. Doktor mengesahkan saya hidap jangkitan kuman dalam paru-paru.
"Ketika di dalam bilik kecemasan hampir sehari, pelbagai perasaan saya rasa ketika itu, pesakit pula bersilih ganti.
"Ada orang tua meraung-raung, bayi menangis, dengar pula bunyi mesin. Memang tak selesa. Kemudian saya dimasukkan ke wad biasa dan diberikan rawatan antibiotik.
"Selain itu, doktor juga melakukan beberapa pemeriksaan kerana bimbang kuman menjangkiti anggota badan yang lain," tambahnya yang negatif virus COVID-19.
Mengulas mengenai perubahan badannya yang semakin kurus dan wajahnya cengkung, Ryzal akui berat badannya susut 6 kilogram.
"Memang saya perasan muka saya semakin cengkung dan badan pun semakin susut. Terkini berat badan saya 59.5 kilogram daripada berat badan normal saya 65 kilogram," tambahnya.
Ryzal juga terharu dengan doa dan titipan kata-kata semangat yang dikirimkan oleh rakan selebriti dan peminatnya menerusi media sosial.
"Bila dapat tahu keadaan saya, ibu saya menangis dan bapa saya pun nak saya balik ke kampung. Katanya dia boleh jaga saya di sana.
"Dalam situasi (sakit) ini, saya lihat ramai kawan-kawan yang mengambil berat, bertanya khabar tentang saya. Yang sudah lama tak berhubung pun ada juga mesej. Masya-Allah," ujar Ryzal lagi.
Maklum Ryzal, dia akan ditahan buat sementara waktu di wad untuk pemantauan lanjut sebelum dibenarkan pulang beberapa hari lagi.
Terdahulu, Ryzal mencetuskan kebimbangan ramai apabila berkongsi sepotong video berada dalam ambulans dan terbaring di katil hospital sambil diberi bantuan oksigen.
Tulis Ryzal dalam kapsyen video yang berlatar belakangkan lagu Kepadamu Kekasih (Datuk M. Nasir) itu; "Pray for me."
Lebih merisaukan apabila peminat melihat keadaan wajah Ryzal yang cengkung dan badan yang semakin susut.
Must-Watch Video