Syada Amzah Beri ‘Green Light’ Jika Ibu Nak Kahwin Sekali Lagi - “Cuma Berharap Tak Jumpa Yang…”
Asyikin Mayudin
16/08/2023 02:50 MYT
16/08/2023 02:50 MYT
Penyanyi Syada Amzah bersikap terbuka sekiranya ibunya iaitu Fauziah Sarman mahu mendirikan rumah tangga sekali lagi.
Menurut adik kepada penyanyi Shila Amzah ini, tiada masalah untuk ibunya bernikah sekali lagi kerana percaya ia merupakan ketetapan jodoh oleh Allah S.W.T.
"Sumber kekuatan mama adalah anak-anak. Saya okey sahaja, tiada masalah kalau mama jumpa jodoh baru. Kalau dah namanya jodoh kan," katanya.
Syada berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada peminat sewaktu melakukan sesi siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.
Sementara itu, Fauziah yang turut bersama Syada pada sesi siaran langsung tersebut sempat berseloroh mengatakan agar dia tidak dipertemukan dengan jodoh yang 'bodoh'.
"Cuma berharap tak jumpa yang bodoh," selorohnya.
Terdahulu, Fauziah menerusi hantaran di Instagram mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya yang juga pelakon dan penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala.
Menerusi perkongsian tersebut, Fauziah memberitahu, lafaz cerai dilakukan suaminya pada 2 Ogos lalu di sebuah masjid, namun hanya dimaklumkan mengenainya menerusi aplikasi WhatsApp, pada 8 Ogos lalu.
Untuk rekod, ND Lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga pada 1989 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Nurshahila atau Shila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.