HIBURAN
Syafinaz Selamat Nasihat Menyanyi Ikut Kemampuan, Jangan Paksa Suara - “Turunkan Key? No Problem”
Penyanyi dan guru vokal tersohor, Datuk Syafinaz Selamat, tampil memberi nasihat penting buat semua penyanyi agar mengikut keselesaan dan kemampuan vokal dengan menggunakan teknik yang betul.
Jangan paksa vokal di luar kemampuan!
Menurut Syafinaz, setiap penyanyi ada range suara tersendiri dan harus menyanyi dalam zon selesa untuk mengelakkan kecederaan pada pita suara
“Vokal setiap manusia ada ‘range’ tersendiri. Suara perempuan ada tinggi rendahnya. Contohnya saya, menyanyi ikut range suara sendiri. Saya tak boleh nyanyi ikut range orang lain yang mungkin lebih rendah.
“Contoh lain, saya nak nyanyi lagu Madah Berhelah dalam skala G major berbanding Ziana Zain yang mungkin selesa menyanyikan lagu itu dalam skala F major.
“Adakah itu menjadikan saya penyanyi lebih baik? Tidak. Ia hanya membuatkan saya menyanyikan lagu itu dalam zon selesa saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tiada masalah turunkan key
Mengulas tentang penyanyi yang cuba menyanyikan lagu di luar kemampuan vokal mereka, Syafinaz menegaskan bahawa menurunkan key lagu bukan satu kesalahan.
“Nyanyi ikut kemampuan. Ada orang mahu nyanyi lagu Mariah Carey tapi suara mereka bukan ‘burung’ (tinggi). Jadi tak boleh. Lebih baik mereka turunkan key agar nyanyian mereka tidak buruk.
“Kita perhatikan ada penyanyi veteran yang terpaksa turunkan key ketika menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, nyanyian mereka masih sedap didengar bukan? Jadi apa masalahnya turunkan key?,” ujarnya.
Syafinaz & Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO)!
Bagi peminat muzik klasik, Syafinaz bakal bergabung dengan Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) di bawah bimbingan konduktor Gerard Salonga dalam konsert Classical Treasures yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 April.
Tiket berharga antara RM379 hingga RM499 boleh ditempah menerusi 03-23317007 atau emel [email protected]. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpo.com.my.
ARTIKEL BERKAITAN: Syafinaz Selamat Bimbang ‘Trend’ Penyanyi Terjerit-Jerit Dalam Nyanyian - “Itu Pun Tak Sampai Tapi Penonton Sorak Siap Standing Ovation”
Must-Watch Video