HIBURAN
Syafinaz Selamat Bimbang ‘Trend’ Penyanyi Terjerit-Jerit Dalam Nyanyian - “Itu Pun Tak Sampai Tapi Penonton Sorak Siap Standing Ovation”
Guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat meluahkan rasa bimbang terhadap kebanyakan penyanyi hari ini yang gemar menarik vokal tinggi hingga terpaksa menjerit.
Menurut Syafinaz, dia bingung setiap kali seseorang penyanyi itu mendapat sorakan gemuruh apabila menarik vokal tinggi sedangkan nyanyian tersebut kurang memuaskan.
“Jerit biar dengan seni. Bila menjerit saja semua orang tepuk bagai nak rak.
“Tak bagus, kadang kala jerit itu pun tak sampai tetapi penonton pula suka siap beri standing ovation.
“Saya hairan adakah mereka dengar dengan betul?,” katanya ditemui pada sidang media Konsert Classical Treasures di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Selasa.
Tambah juri program nyanyian Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) itu lagi, dia bimbang dengan trend ‘menjerit’ tersebut kerana ia boleh menyebabkan seseorang penyanyi berdepan risiko kehilangan suara.
“Kita ada ramai bakat yang bagus tetapi bila mereka mula menjerit dan orang mula puja mereka melebih-lebih lagi untuk menjerit.
“Saya sangat takut melihat mereka menyanyi nada tinggi hingga terjerit-jerit sebab saya hargai suara dan bakat semula jadi yang mereka ada.
“Saya harap mereka takkan rosakkan suara itu. Saya harap mereka tak bawa jeritan dan pujian itu kerana suara adalah aset. Kalau rosak atau hilang memang tak boleh cari ganti,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Syafinaz turut menolak salah faham sesetengah orang ramai yang menganggap menyanyi dalam nada tinggi membuatkan seseorang penyanyi nampak lebih bagus dari penyanyi lain.
“Bila bercakap soal julat suara, setiap penyanyi ada julat suara sendiri dan nada suara yang berbeza.
“Sebagai contoh, ketinggian suara penyanyi A tak sama dengan penyanyi B, tapi kedua-duanya masih boleh menyanyi dalam nada tinggi.
“Tak salah menyanyi dalam nada tinggi, tapi kena ada nilai seni,”
Dalam perkembangan lain, Syafinaz bakal muncul bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dalam Konsert Classical Treasures yang bakal berlangsung pada 5 April depan bertempat di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Must-Watch Video