LAMAN UTAMA

Syafiq Kyle & Mimi Lana Tunggu Masa Nak Kongsi Tarikh Nikah - “Saya Rasa Semua Orang Yang Melalui Proses Ini Akan…”

Asyikin Mayudin 12/07/2023 | 07:50 MYT
Hari bahagia bakal menjelang tidak lama lagi, pasangan selebriti terkenal Mimi Lana dan Syafiq Kyle berkongsi persiapan dan persediaan majlis pernikahan mereka.

Menurut Syafiq, segala persiapan dan persediaan untuk majlis mereka sudah hampir 90 peratus dan hanya tinggal untuk membuat bayaran sahaja.

“Kalau ikutkan dari hari itu kita dah hampir 90 peratus… yang lain semua tinggal nak bayar saja,” kata Syafiq secara berseloroh kepada Gempak.

Syafiq dan Mimi ditemui ketika menjadi tetamu untuk program MeleTOP yang berlansung pada malam, Selasa.

Dalam pada itu, Mimi mengakui sama juga seperti pasangan yang bakal berkahwin, mereka juga berasa gementar melalui proses tersebut.

Bagaimanapun pelakon drama siri Persepsi itu meluahkan rasa syukur apabila mempunyai pasangan yang sangat mudah untuk bekerjasama dalam persiapan majlis mereka.

“Sudah tentu ada perasaan gementar… saya rasa semua orang yang melalui proses ini akan ada perasaan gementar. Tapi so far, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan sangat lancar.

“Syafiq pun seorang yang sangat senang untuk bekerjasama. Dia memang ambil tahu semua benda dalam proses persiapan menjelang perkahwinan,” kata Mimi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal Nikah Mimi Lana, Syafiq Kyle Persiapkan Diri Untuk Menjadi Suami - “Kalau Ada Ujian Bertunang Sekali Pun…”

ARTIKEL BERKAITAN: “50 Peratus Persiapan Sudah Dilakukan” - Mimi Lana Bersedia Jadi Isteri Syafiq Kyle

Sementara itu, Syafiq yang juga pelakon filem Polis Evo 3 ini berkata mereka sememangnya mempunyai perancangan untuk berkongsi tarikh pernikahan namun masih menjadi masa yang sesuai.

“Insya-Allah kami memang ada perancangan untuk kongsikan tarikh tapi kami tengah tunggu masa yang sesuai, di platform yang sesuai untuk kami kongsikan kepada seluruh Malaysia,” ujar Syafiq.

Untuk rekod, hubungan pasangan ini dikatakan pernah terlerai pada Mei 2020 selama lima tahun menyulam cinta namun kembali bertaut selepas masing-masing dilihat berkongsi gambar di media sosial.

Pada 21 Januari lalu, Mimi dan Syafiq turut memuat naik gambar dipercayai pada majlis pertunangan mereka.

#Syafiq Kyle #Mimi Lana #Syafiq #Mimi #Mimi Syafiq