Penyanyi Syamel memulakan langkah dalam bidang perniagaan dengan menjual makanan segera burger demi menambah duit poket.

Kata Syamel, 26, minatnya mendalam terhadap makanan membuatkannya terpanggil untuk memulakan perniagaan itu bersama Ernie Zakri dan Aepul Roza (Drama Band).

"Saya baru selesai berniaga di ekspo jualan di Singapura dan alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Saya memang sudah lama menyimpan hasrat mahu membuka perniagaan makanan, lagi pun burger merupakan makanan yang berjiwa rakyat. Semua suka makan burger!

"Jadi terhasillah soft shell crab dan crispy chicken burger," katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Ceria Megastar Ministar di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, bisnes itu menjadi serampang dua mata untuk Syamel bertemu dengan peminatnya secara tidak langsung.

"Insya-Allah kami akan membuka gerai jualan burger ini di sekitar Bukit Jalil dan Lembah Klang tidak lama lagi.

"Memandangkan saya suka berniaga jadi kemungkinan besar sekiranya ada kelapangan saya akan berada di gerai untuk memasak burger kepada pelanggan. Mungkin buat burger sambil menyanyi?" tambah Syamel berseloroh.

Dalam pada itu, kata Syamel bisnes terbaharunya itu juga menjadi sumber pendapatan tambahan untuk masa hadapannya.

"Selepas beberapa tahun menjadi anak seni, saya rasa ini masa paling sesuai untuk memulakan perniagaan dan mengumpul duit untuk berkahwin. Sekarang pun umur sudah 26 tahun dan menjadi idaman semua orang untuk mendirikan rumah tangga.

"Saya tak mendambakan majlis perkahwinan yang besar sampai menjadi wedding of the year tetapi saya lebih mengutamakan kehidupan selepas berkahwin.

"Mesti seronok memiliki pasangan yang berkongsi minat dan bisnes bersama-sama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syamel bakal muncul dengan sebuah lagu balada tidak lama lagi.